Desak PM letak jawatan 'tanggungjawab agama', pentaksub tunggang agama
- Suara Keadilan

- Jul 23
- 2 min read

Kenyataan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) menggesa rakyat turun ke perhimpunan hujung minggu ini kononnya atas tanggungjawab moral dan agama untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan suatu kenyataan yang ekstrem.
Bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), seruan tersebut terang terangan perbuatan menunggang agama, melanggar hukum hakam, demi untuk mencapai cita cita politik pemimpin parti pembangkang.
"Ini satu seruan yang sangat berbahaya. Mengaitkan tindakan politik jalanan dengan “tanggungjawab agama” memberi mesej salah dan ekstrem kepada golongan pentaksub.
"Ia membuka ruang kepada fahaman bahawa “turunkan Anwar” adalah satu bentuk kewajiban agama dan ini boleh mendorong tindakan melampau, merosakkan keamanan, bahkan pertumpahan darah selagi Datuk Seri Anwar tidak di jatuhkan.
"Malaysia diambang bahaya dengan doktrin politik memperkudakan agama untuk berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini..
Tegas Mahfuz, agama tidak boleh diperalatkan untuk nafsu kuasa. Seruan yang mengundang kekeliruan umat Islam sepatutnya tidak dilakukan oleh para ustaz Pas. Ulama katanya, perlu memainkan peranan menenangkan suasana, bukan menyalakan api perpecahan.
Jelas Mahfuz, dalam sistem demokrasi diamalkan Malaysia kerajaan dibenar untuk ditukar melalui pilihanraya dan undi tidak percaya di Dewan Rakyat, maka seruan untuk turun berdemonstrasi dan mungkin berlaku huru hara bagi menukar pemerintah adalah haram.
"Jika benar mahu menukar kerajaan, lakukan secara berperlembagaan dan berparlimen bukan meniup semangat kononnya ‘wajib lawan pemerintah’ atas tafsiran politik sempit bersandar pada agama.
"Kerajaan Madani mendapat mandat melalui proses demokrasi dan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kalau mahu menurunkan Perdana Menteri ikutilah peroses Perlembagaan dengan buktikan jumlah di Parlimen. Bukan bawa rakyat ke jalanan atas semangat marah dan momokan agama," katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz mahu rakyat Malaysia membantah pendapat yang dikeluarkan secara sewenang wenangnya oleh ustaz pembangkang.
Katanya, jangan akibat persaingan idealogi politik rakyat biasa menjadi mangsa kebencian politik yang dibakar atas nama agama.
"Cukuplah agama Islam dijadikan kuda tunggangan untuk menjadi alat merampas kuasa.
"Jangan ulang sejarah hitam dunia Islam di mana pertelingkahan kuasa atas nama agama akhirnya membawa kehancuran," kata Mahfuz lagi.
Semalam Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) dalam kenyataannya menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab moral dan agama setiap rakyat untuk menyuarakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.
Oleh itu, DUPP menyeru seluruh rakyat untuk turun ke jalan secara aman pada hujung minggu ini untuk nyatakan pendirian, demi maruah negara dan generasi akan datang









Comments