top of page

Dennis Along: Perginya seorang pejuang hak Orang Asal Sarawak - Nurul Izzah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 29
  • 2 min read

ree

Pemergian Dennis Along (gambar atas) pada 27 Jun lalu merupakan kehilangan besar kepada perjuangan mengangkat hak Orang Asal Sarawak, terutamanya Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).


Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Dennis Along yang merupakan anggota parti telah mengorbankan hampir sebahagian besar hidupnya menghadapi pelbagai kes mahkamah demi menegakkan kebenaran memperjuangkan golongan lemah dan tertindas di Bumi Kenyalang.


"Hari ini (27 Jun) kita kehilangan seorang lagi pejuang sejati. Dennis telah menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang pada jam 6 pagi dikelilingi oleh keluarga dan teman teman seperjuangan.


"Saya rakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga Dennis. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan perjuangannya menjadi suluh buat generasi akan datang


"Perjuangan masyarakat orang asal ini mengingatkan saya kepada insan-insan hebat yang telah lama mendahului perjuangan ini. Harrison Ngau, Allahyarham Bill Kayong dan ramai lagi pejuang KEADILAN yang tanpa lelah membawa suara rakyat Sarawak ke hadapan," kata Nurul Izzah dalam hantaran di Facebook.

Perjuangan mempertahankan hak tanah adat bagi Dennis Along dan teman teman masih berterusan
Perjuangan mempertahankan hak tanah adat bagi Dennis Along dan teman teman masih berterusan

Menurut beliau, semangat "agi idup, agi ngelaban" terus terpancar dalam perjuangan aktivis alam sekitar dan NCR seperti Dennis dan rakan rakan.


Melihat keteguhan mereka, katanya, beliau sedar perjuangan tersebut amat wajar diteruskan dalam mempertahankan NCR yang menjadi sebahagian daripada jiwa dan sejarah rakyat Sarawak.


"Walaupun undang-undang negara dan Kanun Tanah Sarawak mengiktiraf hak NCR – tetapi hakikatnya, hanya sebahagian kecil tanah-tanah ini yang diukur dan diberi hak milik secara rasmi.


"Banyak yang masih tergantung. Akibatnya, majoriti masyarakat orang asal mudah menjadi mangsa pencerobohan, pengusiran paksa, dan eksploitasi," jelasnya.


Realiti di Sarawak, tambah beliau, saman tahun ladang sawit dan aktiviti pembalakan terus berkembang di atas terkorbannya hak milik komuniti Orang Asal. Tanah disewa kepada syarikat besar tanpa rundingan, tanpa persetujuan, dan tanpa pampasan sewajarnya.


Biarpun, mahkamah telah berulang kali menegaskan bahawa hak NCR adalah bertunjangkan undang-undang adat yang diwarisi sejak turun-temurun, sejajar dengan semangat Perlembagaan Malaysia dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.


Kenangan Dennis bersama DS Anwar
Kenangan Dennis bersama DS Anwar

Namun pelaksanaan keputusan-keputusan berkaitan NCR, ujar Nurul Izzah, tidak konsisten sehingga menyebabkan masyarakat Orang Asal terus berhadapan dengan cabaran besar dari segi perundangan, birokrasi, dan kos kewangan, semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan hak mereka sendiri.


"Saya menyeru agar proses ukur dan pemberimilikan tanah NCR dipercepatkan, dan tiada lagi lesen baharu yang dikeluarkan di atas tanah yang masih dipertikai.


"Setiap pembangunan mesti dapat persetujuan bebas dan dimaklumkan daripada pemilik asal tanah, serta pampasan secara adil haruslah diberi kepada mana-mana komuniti yang telah terkesan atau kehilangan hak milik," katanya lagi.


Manakala buat seluruh rakyat Malaysia, Nurul Izzah menyeru untuk bersama sama menyokong perjuangan Orang Asal Sarawak mendapatkan hak NCR yang kelak menjamin kelangsungan kehidupan mereka, dan generasi akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page