top of page

Dengan Proton S70, teksi kini lebih moden dan selesa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read
ANWAR (tengah) melepaskan sebuah teksi Proton S70 pada majlis perasmian Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di pekarangan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 3 Julai 2026.
ANWAR (tengah) melepaskan sebuah teksi Proton S70 pada majlis perasmian Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di pekarangan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 3 Julai 2026.

Industri teksi negara memasuki era baharu apabila Proton S70 diperkenalkan sebagai model rasmi menerusi Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional sekali gus menampilkan imej lebih moden, premium dan berdaya saing dalam melengkapkan sistem pengangkutan awam negara.


Bagi menyokong transformasi itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan RM10 juta kepada Kementerian Pengangkutan untuk meneruskan Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama selepas peruntukan awal RM10 juta habis dimanfaatkan dalam tempoh tiga bulan berikutan sambutan menggalakkan daripada pemandu teksi.


Pengumuman itu dibuat ketika beliau merasmikan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata inisiatif itu bukan sekadar memperbaharui kenderaan lama malah mengubah landskap industri teksi apabila pemandu diberi peluang memiliki kenderaan sendiri melalui pakej pembiayaan yang lebih fleksibel.


Beliau berkata penggunaan Proton S70 sebagai teksi baharu dijangka meningkatkan pendapatan bersih pemandu kepada antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan menerusi pengurangan kos penyelenggaraan, pembaikan dan pembiayaan.


"Melalui program ini, kita mahu pemandu teksi memperoleh pendapatan yang lebih baik dengan kos operasi yang lebih rendah.


"Mereka perlu diberi peluang memiliki kenderaan sendiri dan menikmati manfaat daripada pembaharuan industri ini," katanya dipetik media tempatan.


Perdana Menteri memberitahu kerajaan sedang melaksanakan pembaharuan dasar permit teksi dengan memberi permit secara terus kepada pengendali yang layak sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sistem pajakan yang sekian lama membebankan pemandu.


"Daripada dulu kalau lihat, ucapan saya di Parlimen, antara isu saya bangkitkan, mengapa permit teksi diberi kepada orang kaya dan diharapkan pemandu mendapatkan rezeki yang halal.


"Mengapa tidak boleh permit diberi langsung kepada pemandu supaya dia jadi pemilik. Ini isu dibangkitkan puluhan tahun. Kerajaan sekarang mengatakan permit patut diberi bagi yang mampu mengendalikan," katanya.


Pada masa sama, beliau berkata kerajaan akan memastikan pemandu teksi tidak tercicir dalam arus pendigitalan menerusi latihan berkaitan teknologi dan aplikasi pengangkutan selain memudahkan urusan penyelenggaraan di lapangan.


"Ia tidak mudah kerana teknologi dan sistem berubah. Sekarang banyak alternatif lain dan kita tidak boleh halang, jadi harus beri galakan yang sama kepada pemandu teksi.


"Tadi saya juga bersetuju tidak perlu semuanya pergi ke pusat (servis). Mereka boleh turun ke tempat diperlukan untuk baik pulih dan penyelenggaraan kecil supaya kos dapat dikurangkan serta tidak membebankan," katanya.


Beliau turut meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan menaik taraf kemudahan di stesen teksi supaya selari dengan imej baharu industri.


Dalam ucapannya, Anwar mahu pemandu teksi memberikan sumbangan kepada negara dalam bentuk melayani pelancong dengan baik sekali gus menarik minat kemasukan lebih ramai pengunjung ke Malaysia.


Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional merupakan langkah penting bagi mentransformasikan industri teksi supaya lebih moden, berdaya saing dan terus relevan dalam ekosistem pengangkutan awam negara.


Beliau berkata kementerian kini melaksanakan tiga anjakan utama iaitu menyediakan pakej pembiayaan bersama Proton bagi pembelian teksi baharu, menyediakan latihan profesional kepada pemandu selain Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang yang turut merangkumi penilaian semula kadar tambang teksi.


"Langkah ini penting berikutan kita tidak dapat menafikan industri ini berdepan pelbagai cabaran susulan perubahan teknologi dan cara rakyat mendapatkan perkhidmatan pengangkutan serta persaingan daripada mod pengangkutan baharu," katanya.


Anthony berkata Proton S70 dipilih sebagai model teksi rasmi baharu kerana memenuhi piawaian keselamatan, tahap keselesaan penumpang dan kecekapan penggunaan bahan api.


Beliau berkata kelulusan khas Kementerian Kewangan membolehkan pemandu menjadi pemilik sah kenderaan yang dibeli di bawah program itu sekali gus menamatkan amalan pajakan tradisional.


"Ini bukan skim lama atau cara lama yang memajakkan teksi. Pemilik atau pemandu adalah pemilik sah kepada kenderaan itu walaupun ada pembiayaan dengan institusi kewangan. Hak milik itu kekal bersama pemandu," katanya.


Anthony berkata identiti baharu teksi Malaysia turut diperkenalkan dengan reka bentuk lebih moden tanpa penanda di atas bumbung serta menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf 'GET'.


Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain berkata sambutan terhadap Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional amat memberangsangkan apabila kira-kira 800 pemandu teksi telah menyatakan minat untuk menyertainya.


Beliau berkata sebahagian daripada mereka kini sedang melengkapkan proses mendapatkan permit dan surat tawaran kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum urusan pembiayaan bersama Proton dimuktamadkan.


"Pemandu yang berminat perlu mempunyai pendaftaran syarikat serta Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan kerjasama dijalankan bersama pihak Proton untuk mendapatkan pinjaman.


"Pemandu teksi dan e-hailing di luar sana yang berdepan masalah tambang terlalu rendah serta kos kenaikan insurans yang tinggi disarankan menyertai program ini," katanya.


Program Geran Padanan Penggantian Kenderaan Lama menawarkan geran sehingga RM4,000 bagi setiap kenderaan berusia lebih 20 tahun yang dilupuskan merangkumi sumbangan kerajaan sehingga RM2,000 yang dipadankan dengan jumlah sama oleh pengeluar kenderaan yang mengambil bahagian termasuk Proton dan Perodua.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page