
Isu persendaan agama yang melibatkan kompaun kepada syarikat pengendali Era FM dan sebelumnya pelawak terkenal yang berbeza jumlah ditimbulkan secara meluas di media sosial oleh netizen dan laskar siber pembangkang.
Tidak kurang pihak yang menyalahkan kerajaan kerana layanan tidak sama rata, pengenaan denda mengelirukan biarpun di bawah akta sama dan sebagainya.
Pada era kecedasan buatan (AI) dan wujudnya aplikasi pertanyaan yang dijawab oleh perisian seperti ChatGPT, isu berkenaan boleh diselesaikan dengan mudah.
Misalnya seorang netizen membuat semakan di ChatGPT berhubung kekalutan beza denda dan kesalahan antara Era FM dan pelawak Harith Iskander serta Cecelia Yap sebelum ini mendapat jawapan yang padat disediakan oleh aplikasi tersebut.
Berkenaan pindaan akta dan tarikh kesalahan Kes Harith Iskander dan Cecelia Yap berlaku pada 18 Januari 2025, sebelum pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025. Kompaun maksimum yang boleh dikenakan ketika itu adalah RM50,000. MCMC mengenakan kompaun RM10,000 kepada setiap individu, yang merupakan sebahagian daripada jumlah maksimum tersebut.
Manakala kes Era FM berlaku selepas pindaan akta tersebut yang meningkatkan kompaun maksimum sehingga RM500,000. Oleh itu, MCMC mengenakan kompaun RM250,000 kepada Era FM, selaras dengan peruntukan akta yang telah dipinda.
Begitu juga status pelaku, Harith Iskander dan Cecelia Yap adalah individu yang memuat naik kandungan atau komen jelik di platform media sosial peribadi.
Sedangkan dalam kes Era FM, pelaku merupakan sebuah entiti korporat yang memegang lesen penyiaran. Sebagai sebuah organisasi, kesalahan yang dilakukan dianggap lebih serius kerana melibatkan platform dengan jangkauan khalayak yang lebih luas dan mempunyai tanggungjawab profesional dalam penyiaran.
Manakala jangkauan kandungan pula, kandungan jelik yang dimuat naik oleh Harith Iskander dan Cecelia Yap mempunyai jangkauan yang terhad kepada pengikut atau rakan mereka di media sosial.
Namun sebagai stesen radio nasional kandungan yang dimuat naik Era FM berpotensi mencapai khalayak lebih luas, meningkatkan risiko ketegangan antara agama atau kaum.
Comentários