Demostrasi bantah kehadiran Trump: Pendirian Pas ekstrem - Lokman
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sikap pas yang membawa imej seolah-olah pihaknya 'lebih suci' dan 'lebih bijak' berbanding pihak lain berhubung jemputan ke atas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan dikecam pemimpin UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata sikap Pas menjadikan isu kehadiran Trump ke sidang tersebut sebagai satu episod 'drama moral' yang karut.
Menurut Lokman, baru-baru ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa satu demonstrasi besar akan diadakan bagi membantah lawatan Donald Trump ke negara ini.
Hal itu katanya, tidak sejalan dengan pendekatan diplomatik ASEAN yang lebih menekankan dialog bersama kuasa kuasa besar bagi menyelesaikan krisis.
"Tidak mahu kalah, Pemuda Pas lantang menuntut agar lawatan Trump dibatalkan sama sekali.
"Beliau mendakwa banyak negara ASEAN tidak sehaluan dengan Malaysia dalam isu Palestin dan menuduh Trump tidak menunjukkan komitmen untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
"Dengan mengambil pendirian yang ekstrem dan bercanggah dengan logik ini, Pas seolah-olah merasakan diri mereka lebih suci dan lebih bijak daripada seluruh dunia," kata Lokman dalam satu muat naik di Facebook beliau.
Pada masa sama beliau memaklumkan, pada sidang itu nanti, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa isu-isu utama berkaitan kepentingan perdagangan Malaysia dan usaha perdamaian global termasuk isu Gaza akan dibincangkan secara tertutup bersama Presiden Trump.
Pengarah Komunikasi UMNO itu menambah, PM Anwar turut menyatakan Presiden Trump telah menunjukkan sokongan dan memainkan peranan dalam menghentikan pengeboman di Gaza.
Oleh itu, kata Lokman, rakyat Malaysia yang rasional menganggap retorik politik Pas ini lebih kepada oportunis dan mementingkan diri sebagai pembangkang yang tidak mengambil kira pendirian kolektif ASEAN.