Demokrasi: Parlimen medan tukar pandangan, kerajaan bebas dikritik - PM
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan demokrasi tidak boleh sekadar diukur melalui pilihanraya, sebaliknya mesti menjamin ruang untuk kerajaan dipersoal, dikritik dan dinilai rakyat serta Parlimen.
Perdana Menteri berkata akauntabiliti demokratik hanya bermakna apabila Parlimen berfungsi sebagai medan pertukaran pandangan yang sihat, melibatkan kerajaan dan pembangkang dalam semangat semak dan imbang.
"Demokrasi bukan hanya pilihan raya setiap empat atau lima tahun. Demokrasi ialah sistem yang membolehkan parti pemerintah dipersoal, dikritik dan dinilai oleh rakyat serta dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dilakukan," katanya dipetik ketika merasmikan Perhimpunan Agung ke-46 ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Turut dihadiri Presiden AIPA merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah serta Speaker Parlimen negara ASEAN dan Dewan Undangan Negeri.
Anwar menekankan bahawa kejayaan Malaysia memperkukuh kebebasan institusi Parlimen dilakukan menerusi pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.
Beliau menambah meskipun proses demokrasi kadang-kadang penuh dengan perdebatan sengit dan kritikan pedas, ia penting bagi memastikan kerajaan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.
"Perdana Menteri dan kerajaan mesti bersedia menjawab soalan-soalan sukar. Itulah makna sebenar akauntabiliti demokratik," katanya.
Beliau menambah amalan seperti Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen membuktikan komitmen kerajaan terhadap ketelusan apabila pemimpin utama negara sendiri bersedia menjawab isu-isu besar yang dibangkitkan pembangkang.
"Peranan Speaker amat penting. Mereka mesti menjamin Parlimen menjadi medan perbahasan yang sihat dan tertib, meskipun kita tahu media sosial kadang-kadang menimbulkan kekeliruan atau salah tafsir dalam kalangan rakyat," katanya.
Anwar juga mengingatkan bahawa kuasa cenderung membawa kepada rasuah dan penyalahgunaan sekali gus menuntut Parlimen menjadi institusi yang mendengar serta mewakili aspirasi rakyat secara jujur.
"Kuasa cenderung untuk merosakkan dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak. Sebab itu, mereka yang berkuasa mesti lebih dipertanggungjawabkan daripada yang lain," katanya.
Dalam konteks ASEAN, Anwar menegaskan bahawa demokrasi serantau tidak boleh bersifat elitis sebaliknya mesti mewakili suara rakyat terbanyak termasuk masyarakat miskin bandar, penduduk luar bandar, wanita dan belia.
Katanya, suara generasi muda tentang tadbir urus, teknologi baharu, AI dan masa depan pekerjaan perlu didengar kerana ia menentukan hala tuju rantau ini.
Menyentuh isu Myanmar, beliau menegaskan pendirian konsisten ASEAN bahawa bantuan kemanusiaan mesti diberikan tanpa diskriminasi, manakala penindasan terhadap mana-mana kumpulan etnik mesti dihentikan segera.
Dalam hal ini, Anwar yang juga Pengerusi ASEAN 2028 menyeru agar pertubuhan serantau itu terus berpijak pada prinsip demokrasi yang tulen, menolak penyalahgunaan kuasa dan membina masa depan yang berasaskan akauntabiliti.
"Demokrasi hanya akan hidup jika ia mempunyai roh, jika ia mendengar suara rakyat, dan jika ia menolak korupsi yang membunuh kepercayaan.
"Inilah tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat, memastikan demokrasi bukan sekadar slogan tetapi amalan hidup yang membela rakyat," tegas Anwar lagi.