Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Dalam kesibukan menghadiri Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia di Riyadh, Arab Saudi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia turut mengadakan mesyuarat meja bulat bersama lebih 50 pemimpin industri dan perniagaan pelbagai sektor dari seluruh pelusuk dunia.
Turut bersama hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Antara syarikat yang menyertai sesi ini termasuklah Samsung, Chevron, BrainBox AI, Cisco Systems, OmniBot.ai, TotalEnergies, Lulu Group International, Deutsche Bank dan Saudi Industrial Development Fund.
Bertemu pemimpin industri
Ruang bertemu dengan pemimpin industri dan perniagaan ini adalah kesempatan terbaik untuk mendedahkan kepada mereka berkenaan peluang-peluang pelaburan yang terbuka luas di Malaysia.
"Ruang itu saya gunakan untuk memaparkan keutamaan, inisiatif strategik serta kadar pertumbuhan ekonomi dan fiskal negara, selain kewujudan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.
"Sesi seperti ini penting untuk saya dan rakan-rakan meyakinkan pemimpin industri untuk melabur di Malaysia, sekali gus melonjak pertumbuhan ekonomi negara serta mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat Malaysia," ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Berikutan pertemuan tersebut, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik negara, seterusnya menyatakan minat untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.
"Saya beri jaminan urusan pelaburan mereka akan dipermudah dan disegerakan, terutama selepas kerajaan berjaya menangani isu kerenah birokrasi yang berlanjutan sejak sekian lama sebelum ini.
"Saya percaya lebih banyak pelabur-pelabur bernilai tinggi akan memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan, mengikut jejak langkah syarikat-syarikat gergasi seperti Tesla, AWS, Infineon dan NVIDIA," tambah Anwar lagi.
Negara perlu banyak pelaburan asing
Seperti dalam banyak lawatan rasmi keluar negara sebelum ini, antara kegigihan Perdana Menteri ialah berusaha sebaik mungkin menarik pelaburan asing ke Malaysia.
Sebagai negara membangun, kita lebih banyak pelaburan asing masuk maka lebih sejahtera serta bahagialah kita sebagai rakyat Malaysia.
Usaha gigih PMX menarik sebanyak mungkin pelabur besar melabur di Malaysia amat dipuji.
Inisiatif PMX ini akan dapat memperkasakan lagi ekonomi negara yang sekali gus memberi kesan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Malaysia Madani akan bertambah makmur di bawah pimpinan PMX yang namanya semakin mengharum di pentas antarabangsa.
_________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Opmerkingen