Delegasi Malaysia sertai Trade Expo Indonesia, tingkat pelaburan, perdagangan
- Suara Keadilan
- 55 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Indonesia menerusi misi perdagangan yang diadakan bersempena Trade Expo Indonesia (TEI) 2025 di Jakarta atas jemputan rasmi Kementerian Perdagangan Republik Indonesia.
Misi dagang selama tiga hari hingga 19 Oktober lalu itu diketuai Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse  yang mewakili Persekutuan Usahawan Antarabangsa Malaysia (MIEF) bersama 30 usahawan tempatan daripada pelbagai sektor industri.
"Inisiatif itu menjadi platform penting bagi mengembangkan kerjasama ekonomi dua hala, merangsang pertumbuhan serantau serta membuka peluang baharu dalam bidang infrastruktur, teknologi dan perindustrian," kata beliau dalam kenyataan.

Jimmy berkata perbincangan dua hala turut menyentuh pelbagai model kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua negara, selain bertukar pandangan mengenai hala tuju pelaburan masa depan.
Jelas beliau penyertaan Malaysia kali ini bukan sahaja memperkukuh jaringan perdagangan malah memperlihatkan kesungguhan kerajaan dan pemain industri untuk menjalin kerjasama yang lebih dinamik dengan Indonesia.
"Kita melihat potensi besar dalam sektor infrastruktur, teknologi serta industri sokongan untuk diterokai bersama rakan pelabur Indonesia," katanya.
Dalam sesi pertemuan dua hala itu, beliau turut membentangkan laporan terperinci mengenai perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) termasuk peluang pelaburan baharu dan kemajuan infrastruktur semasa yang menarik minat pelabur Indonesia.
Jimmy berkata MIEF menegaskan komitmen berterusannya untuk memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia Indonesia memandangkan perdagangan dan pelaburan kekal sebagai tonggak utama strategi pembangunan serantau.
Pada 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Indonesia mencecah AS$25.5 bilion, meningkat 4.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, Jimmy turut merakam penghargaan kepada Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto serta tuan rumah Indonesia atas sambutan mesra dan komitmen mereka terhadap masa depan ekonomi serantau.
"Sebagai dua negara jiran yang berkongsi semangat kemajuan dan persahabatan, Malaysia dan Indonesia kekal beriltizam membina jambatan kepercayaan, peluang serta kepimpinan bersama di rantau ini," ujarnya.





