top of page

Deklarasi Skopje: Mengapa Agenda Keamanan Tidak Boleh Bermusim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin


ULASAN: Deklarasi Skopje yang diterima pada Sidang Plenari ke-14 International Parliament for Tolerance and Peace (IPTP) hadir pada saat dunia sedang berhadapan dengan pelbagai krisis yang saling berkait. Konflik bersenjata yang berpanjangan, ketegangan geopolitik, krisis kemanusiaan, peningkatan politik kebencian, ekstremisme, serta cabaran baharu yang dibawa oleh teknologi dan kecerdasan buatan menuntut kita memikirkan semula pendekatan terhadap keamanan global.


Bagi saya, deklarasi ini bukan sekadar satu dokumen diplomatik. Ia merupakan peringatan bahawa keamanan bukan sesuatu yang boleh dianggap selesai atau terjamin selama-lamanya. Keamanan perlu diusahakan secara berterusan, diperkukuh melalui dialog, dan dipelihara melalui kerjasama antara negara, masyarakat serta institusi antarabangsa.


Diplomasi antara ahli parlimen


Saya berpeluang terlibat secara aktif dalam IPTP ketika menjadi Ahli Parlimen. Pengalaman tersebut membuka ruang untuk saya melihat bagaimana diplomasi antara ahli-ahli parlimen mampu memainkan peranan yang penting dalam merapatkan jurang perbezaan politik, budaya dan ideologi. Dalam dunia yang semakin terpecah akibat polarisasi dan persaingan kuasa besar, saluran seperti IPTP menjadi semakin relevan.


DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
DS Shamsul Iskandar Mohd Akin

Saya masih mengingati pengalaman mengetuai delegasi pemerhati IPTP semasa pilihan raya tempatan di Kemboja pada tahun 2022. Penglibatan tersebut memberi gambaran jelas bahawa keamanan dan kestabilan tidak lahir secara kebetulan. Ia memerlukan institusi yang berfungsi, ruang dialog yang terbuka, serta komitmen berterusan daripada semua pihak untuk membina keyakinan dan kepercayaan masyarakat.


Sebab itu saya berpandangan bahawa organisasi seperti IPTP perlu terus diperkasakan. Agenda keamanan tidak boleh bersifat bermusim atau hanya muncul ketika berlaku peperangan dan krisis. Ia perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh, merangkumi usaha menangani kebencian, memperkukuh toleransi, mempromosi keadilan sosial serta membina persefahaman antara masyarakat dan negara.


Anwar, diplomasi dan dialog antarabangsa


Dalam konteks semasa, saya melihat pendekatan yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan kerangka yang lebih jelas kepada usaha diplomasi dan dialog antarabangsa. Dalam dunia yang semakin cenderung memilih blok dan konfrontasi, Malaysia di bawah kepimpinan beliau memilih jalan tengah yang berprinsip — berunding tanpa tunduk, berkawan tanpa bergantung, dan mempertahankan prinsip tanpa memutuskan hubungan.


Pendekatan ini membolehkan Malaysia memainkan peranan yang lebih berkesan di pelbagai pentas antarabangsa, sama ada dalam ASEAN, dunia Islam mahupun hubungan antara kuasa-kuasa besar. Keutamaan diberikan kepada dialog, persefahaman dan kerjasama yang menghasilkan keputusan menang-menang, bukannya persaingan sifar yang akhirnya merugikan semua pihak.


Inilah semangat yang juga terkandung dalam Deklarasi Skopje. Keamanan bukan sekadar ketiadaan peperangan. Keamanan ialah kemampuan membina jambatan ketika orang lain membina tembok. Ia menuntut keberanian untuk terus berbincang ketika dunia memilih untuk berpecah. Dan dalam usaha tersebut, IPTP serta institusi-institusi seumpamanya perlu terus diperkasakan sebagai wadah yang menghubungkan negara, masyarakat dan generasi masa hadapan dalam satu cita-cita bersama: dunia yang lebih aman, adil dan sejahtera.

Penulis merupakan Ketua Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya dan mantan anggota Dewan Rakyat 2013-2022.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page