top of page

Deklarasi Kuala Lumpur, sidang GCC lonjakkan PM Anwar di mata dunia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 28
  • 2 min read

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China menaikan nama PM Anwar sebagai pemimpin ulung rantau Asia
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China menaikan nama PM Anwar sebagai pemimpin ulung rantau Asia

Oleh: Akmal Manaf


Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk pemerintahan sebagai Perdana Menteri, Malaysia dilihat semakin mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa, khususnya rantau ASEAN dan negara-negara Islam di Timur Tengah.


Itu pandangan diberikan oleh Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali ketika ditanya tentang penghormatan terhadap Malaysia yang kelihatan kembali menjadi tumpuan sebagaimana pada era 1990an.


Katanya, hubungan erat Presiden KEADILAN itu dengan negara-negara tersebut telah memperkukuh peranan Malaysia dalam isu-isu global.


Di peringkat ASEAN pula, Dr Mazlan berpendapat, Deklarasi Kuala Lumpur yang diumumkan sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ini telah menaikkan nama Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin unggul rantau Asia Tenggara.


Katanya, deklarasi tersebut akan memandu ASEAN ke arah kemakmuran bersama dan meningkatkan ekonomi negara yang masih mundur seperti Laos atau Timor Laste.

Dr Mazlan Ali
Dr Mazlan Ali

"Ini bermaksud Datuk Seri Anwar melihat kepentingan bersama, kerana bukan semua negara ASEAN ekonominya maju.


"Ada negara yang tidak kuat contohnya seperti Laos dan Kemboja, tetapi negara-negara ini juga akan diberi peluang untuk turut serta dalam rancangan masa depan tanpa melihat sempadan.


"Datuk Seri Anwar dilihat mempunyai satu usaha yang tidak hanya memikirkan soal Malaysia, tapi negara-negara rakan dalam ASEAN termasuk Timor Leste yang hari ini hanya menjadi negara pemerhati ASEAN.


"Timor Leste belum lagi menjadi ahli, tapi mereka mohon sudah lama, tidak silap sejak 2011. Jadi Datuk Seri Anwar mengambil inisiatif mempercepatkan keanggotaan mereka," ujarnya lagi.


Antara yang ditumpukan dalam Deklarasi Kuala Lumpur mengenai 'ASEAN 2045: Our Shared Future' adalah 500 langkah strategik dalam memperkukuh masa depan serantau bagi dua dekad akan datang.


Usaha itu termasuk memperkukuh kedudukan ASEAN dalam ekonomi global sebagai pasaran tunggal yang mampan, pintar dan bersambung.


Juga bagi mewujudkan komuniti inklusif yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial serta menjadikan ASEAN sebagai entiti aktif di peringkat antarabangsa yang menjunjung prinsip keamanan, multilateralisme dan tadbir urus yang baik.


Bagi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama kali diadakan, kata Mazlan, sosok Datuk Seri Anwar dianggap sebagai penyatu antara blok Asia dan negara negara Timur Tengah terutama dalam menyelesaikan isu Palestin juga dalam meningkatkan hubungan dagang, ekonomi serta perkongsian teknologi Timur- Barat.


"Oleh itu Datuk Seri Anwar sosok yang menjadi tumpuan bagi negara-negara Arab untuk menyelesaikan isu Palestin.


"Arab sesama Arab pun tak dapat nak selesaikan.. mereka minta Datuk Seri Anwar selesaikan. Ertinya penghormatan (tinggi) mereka (terhadap Anwar)," katanya lagi.


Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan detik bersejarah dalam kerjasama antarabangsa, menghimpunkan tiga rakan dinamik yang berkongsi aspirasi serta kejayaan luar biasa.


Hal itu ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaannya, iaitu buat pertama kali ketiga-tiga rantau ini bersidang dalam format yang unik, masing-masing mempunyai warisan tamadun yang kaya, budaya yang berakar umbi serta aspirasi yang dikongsi bersama.


"Ketiga-tiga rantau ini sedang mencatatkan pencapaian memberangsangkan. GCC telah muncul sebagai pusat kekuatan kewangan, kecerdasan buatan dan inovasi digital, dengan tenaga kekal sebagai teras utamanya," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page