Deklarasi damai Thai-Kemboja terancam: PMX hubungi PM Thailand, Kemboja
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Insiden terbaharu di sempadan Thailand-Kemboja yang dianggap boleh menggugat deklarasi damai yang ditandatangani di Kuala Lumpur Oktober lalu segera ditangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan kejadian yang lebih serius.
Melalui muat naik di Facebook beliau memaklumkan telah berhubung melalui telefon dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, bagi membincangkan perkembangan terkini usaha damai susulan insiden terbaharu di sempadan kedua-dua negara.
Menurut Anwar, kedua-dua pemimpin serantau itu memberikan maklum balas yang positif serta menegaskan komitmen mereka untuk terus mencari penyelesaian secara aman.
"Alhamdulillah, kedua-duanya memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur," katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan pendirian tegas Malaysia yang mahu melihat hubungan persahabatan dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja terus diperkukuh, selaras persefahaman yang dicapai pada pertemuan di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.
Beliau berkata Malaysia kekal bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis penyelesaian damai yang berkekalan.
"Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini," kata Anwar.
Kedua-dua Perdana Menteri negara jiran itu turut menyampaikan penghargaan terhadap pendirian Malaysia serta peranan yang digalas, bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN, tetapi juga sebagai sahabat dan jiran serantau yang komited terhadap keamanan.
Anwar menzahirkan harapan agar Thailand dan Kemboja terus menunjukkan kesungguhan dalam mengekalkan kestabilan di kawasan perbatasan.
"Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan… demi keamanan yang berkekalan di rantau ini, dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara," ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan insiden menyebabkan dua tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api di wilayah Sisaket, menyebabkan Thailand menangguhkan pelaksanaan deklarasi yang dipersetujui di Kuala Lumpur dengan Kemboja.
Perdana Menteri Thailand dilaporkan kesal dengan insiden itu dan menganggap ancaman keselamatan masih wujud walaupun telah ditandatangani deklarasi keamanan.









Comments