Defisit fiskal berkurang, jumlah hutang baharu menurun berperingkat - PM
- Suara Keadilan

- Aug 5
- 1 min read

Kerajaan Madani berusaha mengurangkan defisit fiskal tahun ke tahun bagi memastikan jumlah hutang negara secara keseluruhannya berkurangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berhubung peningkatan hutang.
Bagaimanapun, dalam pengambilan hutang baharu menyaksikan kadar hutang negara menurun setiap tahun iaitu daripada RM100 bilion pada 2021 kepada RM76.8 bilion pada 2024.
"Pada 2022, defisit adalah 5.5 peratus sehingga diturunkan kepada 4.1 peratus pada 2024 kerana sasaran kita adalah menurunkan defisit secara berfasa.
"Langkah ini dilaksanakan secara berfasa kerana jika dilakukan secara mendadak, peruntukan tambahan untuk pendidikan, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kesihatan itu akan terbantut.
"Jadi, defisit harus dikurangkan tapi jika terus belanja boros, maka hutang akan mencecah terlalu tinggi," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat (PMQT), hari ini.
Dalam pada itu PM juga menyentuh peningkatan hutang negara dari RM1,079.1 bilion pada 2022 kepada RM1,247.6 pada 2024 sebagaimana ditanyakan Kuala Kangsar dan beliau menjelaskan, ianya adalah perbelanjaan pembangunan, bukan mengurus.
"Kita tidak hutang untuk belanja mengurus. Kita hutang walaupun berkurang jumlah hutang itu untuk belanja pembangunan kerana kedudukan sekolah, hospital, luar bandar dan tebatan banjir (perlu projek pembinaan), seperti yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.









Comments