Deepavali serlah nilai perpaduan, kemanusiaan – Setpol MB
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Nilai kemanusiaan dan semangat kebersamaan antara rakyat berbilang kaum perlu terus disemarakkan agar mampu menjadi menangkis kebencian serta meneguhkan keharmonian negara.
Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad dalam perutusan sempena Sambutan Deepavali 2025 menyeru rakyat terus menyalakan semangat perpaduan, kasih sayang dan empati selaras dengan makna sebenar Pesta Cahaya yang diraikan masyarakat India.
"Sejak beberapa minggu lalu, saya bersama pasukan telah mengadakan program ziarah dan penyampaian sumbangan kepada masyarakat India di DUN Batang Kali.
"Di tengah tekanan ekonomi tidak menentu, saya amat terharu melihat semangat kekeluargaan yang tetap utuh, mereka meraikan Deepavali dengan penuh syukur, gotong-royong dan kasih sayang," katanya.
Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN menegaskan, parti itu percaya keadilan sosial dan kesejahteraan bersama hanya akan dapat dicapai apabila setiap lapisan masyarakat dirangkul tanpa mengira bangsa atau agama.
Justeru tegasnya, setiap usaha kecil mengukuhkan perpaduan bakal menjadi asas kepada cita-cita besar membina Malaysia yang harmoni, penyayang dan penuh empati terhadap semua rakyatnya.
"Marilah kita bersama menyalakan cahaya kebaikan dalam kehidupan orang lain agar sinarnya terus menerangi masa depan kita bersama," ujarnya.
Menerusi perutusan itu beliau turut mendoakan agar sambutan Deepavali tahun ini membawa kebahagiaan berpanjangan, kesihatan yang baik dan keberkatan kepada masyarakat India yang meraikannya.
Comments