Deepavali: Amirudin jamin masyarakat India terus dibela, diberdaya
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan bahawa Belanjawan Selangor 2026 tidak akan meminggirkan masyarakat India di negeri itu.
Dalam perutusan sempena Sambutan Deepavali 2025, Amirudin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menumpukan usaha membela serta memperkasa masyarakat itu agar kualiti hidup mereka dapat terus ditingkatkan.
"Saya memberikan pengesyoran bahawa masyarakat India di Selangor akan terus dibela dan diberdaya.
"Baru-baru ini, saya menyalurkan bantuan persekolahan termasuk 98 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang menerima peruntukan RM5 juta. Saya mahu semua pelajar di Selangor termasuk di SJKT belajar dalam keadaan yang selamat dan selesa," katanya dipetik.
Belanjawan Selangor 2026 dijadualkan akan dibentang pada 14 November depan. Ia disusun berpaksikan kesejahteraan rakyat dengan meneliti cabaran semasa serta keperluan masa depan negeri.
Sementara itu menerusi perutusannya, Amirudin menyifatkan sambutan Deepavali yang disambut masyarakat Hindu dan Sikh hari ini sebagai simbol kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan negeri ini.
Beliau menyeru supaya perayaan tersebut menjadi kesempatan untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi kegembiraan dan menghayati nilai-nilai kasih sayang serta kekeluargaan,.
"Nikmatilah perayaan ini bersama keluarga dan sahabat, dan bagi yang pulang ke kampung halaman, saya doakan perjalanan anda selamat," ujarnya.