Dedikasi pasukan penyelamat operasi di Gunung Liang dihargai - Mujahid
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 1 min read

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa (gambar), menzahirkan rasa dukacita atas kematian pendaki Allahyarham Mustaqqeem Mansor di Gunung Liang, Tanjung Malim, serta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi membawa turun jenazah mangsa.
Dr Mujahid berkata, operasi yang dijalankan dengan penuh dedikasi itu memperlihatkan semangat kerjasama tinggi antara pelbagai agensi penyelamat bagi memastikan urusan pengambilan dan penghantaran jenazah berjalan lancar dan penuh tertib.
"Operasi yang dijalankan penuh dedikasi ini melibatkan pelbagai pasukan penyelamat yang berganding tenaga bagi memastikan urusan pengambilan jenazah berjalan lancar dan penuh tertib," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa helikopter AW189 milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diketuai juruterbang Tuan Wahyudi dan pembantu juruterbang Tuan Khirul telah berlepas pada jam 2.30 petang menuju ke lokasi kejadian.
"Tidak lama kemudian, sekitar jam 2.45 petang, Allahyarham berjaya dibawa naik ke pesawat menggunakan teknik winching sebelum diterbangkan ke padang kawad UPSI untuk diserahkan kepada pihak polis bagi urusan seterusnya," jelas beliau.
Operasi berkenaan turut disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Unit Udara JBPM, Pasukan STORM JBPM Negeri Perak, malim gunung, serta pasukan bomba sukarela.
"Setiap anggota yang terlibat menunjukkan semangat tinggi dan kecekapan yang wajar kita hargai," katanya lagi.
Dr Mujahid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan yang amat dirasai.
"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mustaqqeem Mansor. Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," katanya.