top of page

Dedahkan pelaku pencemaran Sungai Johor, ambil tindakan tegas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Anis Afida menunjukkan air Sungai Johor yang tercemar dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas
Anis Afida menunjukkan air Sungai Johor yang tercemar dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor menzahirkan kebimbangan serius terhadap insiden pencemaran Sungai Johor yang telah menjejaskan hampir sejuta penduduk di sekitar Johor Bahru, Kulai, Skudai dan Kota Tinggi sejak seminggu lalu.


Pengerusi Biro Alam Sekitar AMANAH Johor, Anis Afida Mohd Azli, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kejadian ini menunjukkan kelemahan dalam pemantauan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan di kawasan sensitif sumber air negeri.


"Krisis ini jelas menunjukkan kelemahan dalam pemantauan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan di kawasan sensitif sumber air negeri," tegas beliau.


AMANAH Johor menggesa Kerajaan Negeri Johor melalui BAKAJ serta agensi persekutuan seperti SPAN dan JAS untuk segera bertindak menggunakan akta dan enakmen masing-masing bagi memulihkan keadaan serta memastikan Loji Rawatan Air (LRA) seperti Sungai Johor, Semangar dan Linggiu dapat beroperasi semula.


Menurut laporan awal Jabatan Alam Sekitar (JAS), kejadian berpunca daripada pecahnya benteng kolam silt di tapak perlombongan pasir berhampiran Kota Tinggi, yang menyebabkan tahap kekeruhan air meningkat daripada 400 NTU kepada lebih 37,000 NTU.


Anis Afida turut menuntut agar pihak bertanggungjawab didedahkan kepada umum dan tidak dilindungi oleh mana-mana pihak.


"Ketelusan hasil siasatan oleh JAS, JMG, PTG dan JPS amat penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan alam sekitar negara," katanya lagi.


Beliau turut menegaskan supaya tindakan tegas diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang telah dipinda pada 2024 (Akta A1712), yang memperuntukkan denda maksimum RM10 juta dan penjara lima tahun. Undang-undang lain seperti Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Enakmen Mineral Johor 2009 juga perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi.


"Sungai ialah nadi kehidupan rakyat dan pencemarannya adalah pengkhianatan terhadap hak rakyat untuk mendapatkan air bersih dan kehidupan yang sejahtera," ujar Anis Afida.


AMANAH Johor menegaskan insiden ini harus menjadi pengajaran penting bahawa pembangunan ekonomi mesti seiring dengan tanggungjawab menjaga alam sekitar bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page