
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir meminta speaker supaya mendedahkan ahli Parlimen yang enggan mengambil vaksin Covid-19.
Beliau berkata, seorang wakil rakyat seharusnya menunjukkan contoh baik kepada rakyat dan pengundi kawasannya.
"Khabar angin mengatakan ada beberapa ahli Parlimen belum vaksin dan tak mahu ambil vaksin sebab soal kepercayaan.
"Kalau boleh dedah ahli Parlimen yang tak nak ambil vaksin, saya percaya ia tidak akan merendahkan fahaman agama, jadi tolong tunai tanggungjawab sebagai ahli Parlimen," katanya di Parlimen.
Dalam pada itu, Akmal meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin supaya melancarkan Operasi Lonjakan Kapasiti di Johor Bahru.
"Kekhuatirannya bandar Johor Bahru tak tahu sampai bila terpaksa bergelut, kami tidak mahu mengikuti pengalaman apa yang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor.
"Sebab itu saya mohon pada menteri bila sebut operasi lonjakan kapasiti, tolong pertimbangkan bandar perlu dibuka bergantung kepada ekonomi dan pendapatan negara.
"Keutamaan Johor Bahru amat kritikal, mungkin gelembung tourism boleh diguna pakai untuk sektor ekonomi bandar dibuka kerana sempadan Johor Bahru dan Singapura. Dulu janji hujung tahun lepas, tapi tak dapat sebab kes masih tinggi.
"Harap menteri kalau boleh operasi lonjakan kapasiti utamakan pintu masuk negara," katanya.