Debat: Level poster boy bukan ukuran, rakyat mahu nilai dasar, tawaran
- Akmal Manaf
- 5 hours ago
- 2 min read

Alasan mengenai perbezaan ‘level’ sebagai syarat untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah sesuatu yang pelik dan bertentangan dengan semangat demokrasi yang menilai hujah berdasarkan fakta serta dasar, bukannya kedudukan politik, kata Eddiarman Mohd Yunos.
Ketua Penerangan Negeri KEADILAN Melaka itu berkata, jika benar Onn Hafiz merupakan aset terbesar Barisan Nasional (BN) hari ini, beliau tidak sepatutnya dilindungi daripada perdebatan.
Beliau berkata, rakyat pernah menyaksikan Datuk Seri Najib Razak ketika menjadi Perdana Menteri dan dianggap aset paling penting BN, tetap tampil berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa meletakkan syarat mengenai ‘level’ atau kedudukan politik lawannya.
"Beliau (Najib) tidak meminta lawannya membuktikan ‘level’ terlebih dahulu. Beliau hadir untuk mempertahankan hujah di hadapan rakyat.

"Justeru, jangan jadikan istilah ‘level’ sebagai benteng untuk mengelakkan perdebatan. Dalam demokrasi, rakyat tidak mengundi berdasarkan siapa paling tinggi pangkatnya.
"Rakyat mengundi berdasarkan siapa paling mampu menjawab persoalan mereka, menawarkan dasar yang lebih baik dan berani mempertahankannya secara terbuka.
"Kalau benar yakin dengan rekod sendiri, pentas debat bukan ancaman, sebaliknya ia merupakan peluang," katanya dalam satu kenyataan.
Eddiarman merujuk kenyataan yang dikeluarkan mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mengatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu mengemukakan calon Menteri Besar Johor terlebih dahulu jika mahu berdebat dengan Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor.
Cadangan debat sebelum ini tercetus selepas calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaannya untuk berdebat termasuk dengan Onn Hafiz, susulan inisiatif yang dikemukakan oleh sebuah halaman Facebook, WOW Malaysia, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Susulan itu, Eddiarman turut mempersoalkan kewajaran kelayakan berdebat diukur berdasarkan kedudukan atau kasta politik, selain mempersoalkan sama ada sesuatu hujah hanya dianggap bernilai apabila disampaikan oleh individu yang memegang jawatan tertentu.
Katanya dalam politik, poster boy pada waktu pilihanraya belum menjamin kedudukan seseorang itu akan diangkat sebagai Menteri Besar, begitu juga calon biasa peringkat DUN belum tentu tidak akan dipilih sebagai MB selepas keputusan pilihanraya diumumkan.
"Logik ini cukup pelik. Jika ukuran dibuat berdasarkan status poster boy, ia juga tidak masuk akal. Sejarah politik negara telah berkali-kali membuktikan bahawa poster boy belum tentu akhirnya dilantik menjadi Menteri Besar.
"Maka, jika PH memenangi (PRN) Johor, Dr Maszlee yang bukan poster boy juga berkemungkinan dipilih sebagai Menteri Besar.
"Jadi, hujah kononnya mereka tidak berada pada ‘level’ yang sama sebenarnya tidak mempunyai asas," bidas beliau.
