Oleh: Abdullah Zaid
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu baru-baru ini ekoran parodi provokasi pempengaruh Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa seolah olah undang-undang syariah sudah dimansuhkan di negara ini.
Ketuanya, Zaidi Jatil berkata, hantaran video itu jelas berniat jahat mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 selain cuba memanipulasikan fakta.
"Video yang dihasilkan secara terang-terangan berniat jahat untuk mempersendakan proses penghakiman yang telah dilakukan oleh badan perundangan negara di samping boleh memesongkan fakta.
"Selain itu, video tersebut mendapat kecaman yang hebat daripada warganet hasil daripada video parodi yang berdurasi 3 minit 55 saat menyatakan bahawa perbuatan minum arak dan berjudi dan liwat tidak akan dikenakan hukuman," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, biarpun DD Chronicles atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e, 44, memohon maaf atas video tersebut namun sayap angkatan itu berpandangan laporan polis perlu dibuat bagi mengelakkan ia menjadi suatu kebiasaan terhadap isu agama, bangsa dan Institusi Diraja (3R).
"Kami berharap pihak berkuasa khususnya polis dapat mengambil tindakan tegas terhadap beliau supaya pempengaruh tersebut mengambil ikhtibar dan pengajaran kerana hal sedemikian jelas memainkan sentimen 3R," ujarnya.
Jumaat, lalu AMK membuat laporan polis secara serentak terhadap pempengaruh PN itu susulan kenyataannya mendakwa kesalahan pengambilan minuman keras, berjudi dan meliwat di kalangan orang Islam tidak menjadi suatu kesalahan.
Tindakan pempengaruh itu dilihat mempermainkan hukum syarak, dan memperlecehkan keputusan para hakim di Mahkamah Persekutuan serta tidak menghormati semangat Rukun Negara.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata sebanyak 49 laporan polis telah terhadap Didey dibuat di seluruh negara dan dijangka akan terus bertambah.
Comments