top of page

DBKL kaji warta Sungai Penchala kampung tradisi, kekal rizab Melayu

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
22 hours ago
3 min read
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. Gambar arkib
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh. Gambar arkib

Kajian libatkan Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan dengan persetujuan pemilik tanah jadi pertimbangan Utama

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan kajian bagi mengenal pasti kawasan berpotensi di Sungai Penchala termasuk Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan untuk dizonkan sebagai kampung tradisi bagi memelihara warisan perkampungan Melayu di ibu negara.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata proses itu dimulakan susulan hasratnya sejak empat tahun lalu sebagai Ahli Parlimen Segambut bagi memastikan identiti kampung Melayu tradisi di kawasan berkenaan tidak dihakis pembangunan.


Beliau berkata, keputusan untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai zon kampung tradisi bergantung kepada penduduk khususnya pemilik tanah yang mempunyai hak menentukan hala tuju pembangunan tanah masing-masing.


"Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, saya ada tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara kampung tradisi Melayu. Saya nak tekankan bahawa ini merupakan salah satu agenda saya untuk memastikan tradisi di sini tidak hilang.


"Kita sudah banyak kawasan komersial di seluruh Kuala Lumpur tetapi untuk mencari kawasan kampung Melayu tradisi semakin susah," katanya ketika mengumumkan permulaan kajian itu di Kampung Sungai Penchala semalam.


Menurut Hannah, kajian melalui Pelan Kawalan Mikro (PKM) itu akan menilai ciri-ciri perkampungan sedia ada, pembangunan yang telah diluluskan, keupayaan infrastruktur serta kesesuaian garis panduan pembangunan pada masa hadapan.


Katanya, DBKL akan melaksanakan kaji selidik khusus dan sesi libat urus bagi memastikan semua pemilik tanah berpeluang menyatakan pandangan masing-masing sebelum cadangan pengezonan dimuktamadkan.


"Setiap rumah akan diselidik dan mereka mempunyai peluang untuk menyatakan hasrat. Tetapi yang perlu kita dengar bukan sahaja mereka yang tinggal di sini, keutamaan diberikan kepada pemilik tanah.


"Pemilik tanah yang mempunyai kuasa untuk menentukan," katanya.


Beliau berkata cadangan itu bukan bermaksud semua pembangunan akan dihentikan sebaliknya kawalan perancangan akan ditetapkan bagi menentukan ketinggian bangunan, kepadatan pembangunan dan jenis kediaman yang dibenarkan.


Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud berkata terdapat dua kawasan Rizab Melayu utama di Segambut iaitu Rizab Melayu Sungai Penchala dan Rizab Melayu Segambut yang mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 597 hektar.


Menurut beliau kajian Pelan Kawalan Mikro ketika ini memberi tumpuan kepada Rizab Melayu Sungai Penchala yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu di selatan dan utara Lebuhraya Penchala Link.


"Di kawasan selatan Penchala Link, kita sedang mengkaji potensinya untuk dikategorikan sebagai zon kampung tradisi termasuk mengenal pasti garis panduan yang bersesuaian.


"Kita juga mengambil kira dua kampung lagi iaitu Kampung Palimbayan dan Kampung Bukit Lanjan yang terletak di bahagian utara Penchala Link," katanya.


Beliau berkata kajian Pelan Kawalan Mikro dijangka disiapkan pada Februari tahun depan sebelum penilaian lanjut dilakukan bagi menentukan kawasan yang berpotensi untuk dizonkan sebagai kampung tradisi.


Katanya DBKL akan melantik perunding untuk menjalankan kajian dan sesi libat urus, termasuk mengadakan pertemuan di masjid serta dewan bagi mendapatkan pandangan penduduk secara menyeluruh.


"Kita tidak mahu hanya sebahagian sahaja mengambil peluang ini. Kita akan membuat survei khas kepada semua penduduk supaya semua pendapat diambil kira semasa sesi libat urus dijalankan," katanya.


Menurut beliau, penduduk yang memilih untuk mengekalkan kawasan sebagai zon kampung tradisi akan tertakluk kepada garis panduan pembangunan tertentu manakala mereka yang mahu memajukan tanah masing-masing juga boleh berbuat demikian mengikut parameter perancangan yang ditetapkan.


Bagaimanapun, katanya status tanah sebagai Rizab Melayu akan kekal dan perubahan yang dicadangkan hanya melibatkan zon pembangunan serta hala tuju perancangan kawasan berkenaan.


Hasil kajian itu seterusnya akan menjadi asas kepada cadangan pindaan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) termasuk penetapan parameter pembangunan dan keperluan infrastruktur yang bersesuaian.


Proses pameran awam dijangka dilaksanakan pada Mei 2027 manakala pewartaan perubahan pelan tempatan disasarkan pada Februari 2028, tertakluk kepada penyempurnaan proses dan kelulusan berkaitan.


Dalam pada itu, beberapa wakil penduduk yang hadir menyambut baik usaha berkenaan kerana bimbang pembangunan kondominium dan peningkatan kepadatan penduduk akan memburukkan masalah kesesakan jalan raya serta parkir di kawasan kampung.


Wakil penduduk turut membangkitkan isu tempoh pajakan tanah Rizab Melayu yang hampir tamat bagi sesetengah lot selain kebimbangan terhadap kemungkinan beban premium yang tinggi sekiranya permohonan melanjutkan pajakan dibuat.


Hannah menjelaskan isu lanjutan pajakan merupakan perkara berasingan yang akan diusahakan manakala kajian semasa memberi tumpuan kepada penentuan status kampung tradisi dan kawalan pembangunan.


"Jangan keliru. Tanah, status tanah di sini merupakan tanah rizab Melayu. Bermaksud hanya orang Melayu sahaja yang boleh memiliki tanah di sini.


"Tentang status pajakan, perlanjutan yang itu kita akan usahakan. Sekarang kajian yang kita nak mulakan adalah status kampung tradisi," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata sebelum ini DBKL telah mewartakan Kampung Padang Balang sebagai kampung tradisi dengan Sungai Penchala bakal menjadi lokasi kedua mendapat status sama sekiranya dipersetujui penduduk.


"Keputusan dalam tangan mereka sekarang apabila proses kajian sudah bermula. Saya tidak boleh membuat keputusan untuk mereka tetapi saya sudah memulakan proses untuk mewartakannya jika mereka bersetuju," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page