Daya saing: M'sia lonjak 11 tangga bukti formula Ekonomi Madani berjaya
- Suara Keadilan

- Aug 28
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Global 2025 membuktikan usaha berterusan dalam memperkukuh pentadbiran, membangunkan ekonomi dan memperkasa rakyat kini sedang membuahkan hasil.
Susulan kejayaan itu, Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young merakamkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas dalam membanteras rasuah, menekankan prinsip tatakelola yang baik, serta komited memperjuangkan agenda ekonomi rakyat.
''Tahniah juga diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia susulan kejayaan tersebut. Kami juga yakin bahawa antara teras utama kepada daya saing sesebuah negara adalah perpaduan nasional yang kukuh.

''Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan agama. Kejayaan kita di peringkat antarabangsa ini tidak mungkin dicapai tanpa semangat saling menghormati dan bekerjasama antara rakyat berbilang kaum,'' katanya dalam satu kenyataan.
David berkata, sebagai Pengerusi Biro Perpaduan Nasional di peringkat negeri, beliau ingin menegaskan bahawa pihaknya juga akan terus memperjuangkan agenda memperkukuh perpaduan rakyat di Selangor, yang merupakan antara negeri cerminan Malaysia.
Ujar Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang itu, setiap rakyat tanpa mengira latar belakang mesti berasa selamat, dihargai dan diberikan peluang yang adil untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
''Kita tidak boleh leka, cabaran global semakin kompleks dan daya saing bukan hanya soal angka ekonomi, tetapi juga mencerminkan sejauh mana rakyat bersatu dalam mencapai matlamat bersama.
''Marilah kita jadikan kejayaan ini sebagai pemangkin untuk melangkah lebih jauh, membina sebuah Malaysia yang progresif, inklusif dan bersatu padu di mata dunia,'' seru beliau lagi.









Comments