top of page

Daya saing M'sia di tangga ke-15: Usaha reformasi kerajaan berhasil

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 8 hours ago
  • 2 min read
PM dalam sidang media di Rusia gembira pembaharuan kerajaan telah membuahkan hasil. Foto: FB Anwar
PM dalam sidang media di Rusia gembira pembaharuan kerajaan telah membuahkan hasil. Foto: FB Anwar

Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan reformasi ekonominya apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam IMD World Competitiveness Ranking (WCR) 2026 sekali gus menjadi kedudukan tertinggi pernah dicapai negara dalam penarafan daya saing global itu.


Lonjakan daripada tangga ke-23 pada tahun lalu meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mencatat peningkatan paling ketara dalam kalangan 70 ekonomi yang dinilai oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), Switzerland.


Di sebalik pencapaian itu, laporan IMD yang diterbitkan bulan ini turut memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai kekuatan ekonomi Malaysia, keberkesanan reformasi yang sedang dilaksanakan serta cabaran yang masih perlu ditangani bagi memastikan momentum tersebut dapat dikekalkan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa usaha pembaharuan atau reformasi yang dilaksanakan kerajaan telah membuahkan hasil.


"Alhamdulillah, ini bermakna kita telah melonjak lapan anak tangga berbanding tahun lalu," katanya dipetik ketika bercakap kepada media Malaysia pada sidang media penutup lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan.


Menurut beliau, peningkatan ranking itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kecekapan pentadbiran, mempercepat pelaksanaan dasar dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.


Beliau turut mengaitkan pencapaian tersebut dengan usaha berterusan kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


Sementara itu, pakar ekonomi melihat peningkatan ranking itu sebagai petanda bahawa Malaysia semakin mendapat perhatian pelabur global ketika syarikat antarabangsa menyusun semula rantaian bekalan mereka.


Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes dipetik berkata, lonjakan tersebut bukan berlaku secara kebetulan sebaliknya didorong oleh kedudukan Malaysia yang semakin penting dalam sektor teknologi dan pembuatan bernilai tinggi.


Menurut beliau, kemasukan pelaburan dalam bidang kecerdasan buatan, semikonduktor, pusat data serta sektor elektrik dan elektronik membantu meningkatkan daya saing negara di peringkat global.


"Malaysia semakin dilihat sebagai platform serantau yang diyakini bagi pelaburan teknologi, pembuatan dan perkhidmatan," katanya.


Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed pula dilapor berkata pencapaian itu sebagai antara lonjakan daya saing paling mengagumkan dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun.


Beliau berkata, asas ekonomi Malaysia semakin kukuh hasil gabungan beberapa faktor termasuk kestabilan sistem kewangan, pasaran modal yang matang, kedudukan strategik dalam ASEAN dan kekuatan negara dalam sektor semikonduktor.


Menurutnya, Malaysia kini berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan aliran pelaburan global, khususnya apabila syarikat multinasional mencari destinasi yang stabil dan berdaya saing di rantau Asia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page