Daya saing dunia: Ekonomi mengukuh, kesejahteraan rakyat perlu dibaiki
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
ANALISIS: Malaysia mencatat pencapaian membanggakan berdasarkan laporan Penarafan Daya Saing Dunia atau World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 daripada 69 negara yang diteliti.
Menurut Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai (gambar) dari Universiti Tun Abdul Razak, pencapaian membanggakan tersebut adalah hasil gabungan pelbagai faktor, terutamanya prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan serta kecekapan kerajaan dalam pengurusan ekonomi.
"Pencapaian ini merupakan peningkatan ketara berbanding kedudukan tahun 2024 yang menyaksikan Malaysia berada di tangga ke-34.
"Kita pernah mencapai kedudukan ke-12 suatu masa dahulu, dan walaupun kita masih belum kembali ke tahap itu, pencapaian tahun ini sangat positif," kata beliau.
Menurutnya, Malaysia mencatatkan lonjakan tahun ini dalam prestasi ekonomi dengan skor 74.1, menjadikannya antara ekonomi paling kukuh secara global.
Menurut beliau, kejayaan tersebut disumbangkan oleh beberapa faktor seperti kawalan harga dengan Malaysia menduduki tempat pertama dunia dalam kawalan harga dan inflasi. Juga faktor guna tenaga, kadar pengangguran rendah, dengan lebih 17 juta tenaga kerja aktif, meletakkan negara di tangga ke-8.
Selain itu, pelaburan antarabangsa mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan menjadikan kedudukan Malaysia naik ke tangga ke-2, dengan perdagangan antarabangsa di kedudukan ke-6, dan perkembangan ekonomi domestik meletakkan Malaysia di tangga ke-15 dunia.
Ujar Dr Barjoyai, kejayaan tersebut menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara selain kecekapan kerajaan mengurus ekonomi.
"Dalam aspek kecekapan kerajaan (government efficiency), Malaysia mencatat kedudukan ke-25 dengan skor 60.4 – peningkatan lapan anak tangga dari 2024. Manakala dalam kecekapan perniagaan (business efficiency), negara kini berada di tangga ke-32, juga naik 8 anak tangga.
"Ini menunjukkan Malaysia menepati piawaian dan harapan institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF dari segi daya saing," katanya.
Namun demikian, Dr Barjoyai mengingatkan biarpun prestasi ekonomi negara cemerlang, isu kesejahteraan rakyat masih menjadi persoalan utama.
Sehubungan itu katanya, Malaysia perlu terus memacu produktiviti pekerjaan, meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta mengadaptasi teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
"Salah satu cabaran terbesar ialah kadar gaji yang masih rendah. Statistik menunjukkan hanya 33 peratus daripada hasil syarikat dikongsi bersama pekerja – berbanding 60 peratus di negara maju, dan 37 peratus di Malaysia beberapa tahun lalu.
"Kos sara hidup meningkat, tapi gaji tidak meningkat selari. Ini memberikan kesan kepada kesejahteraan rakyat.
"Peraturan perniagaan juga perlu dimodenkan dan rantaian bekalan diperkemas untuk memastikan industri negara kekal cekap dan berdaya saing.
"Kerajaan dan sektor swasta seharusnya bekerjasama erat bagi memastikan kejayaan ekonomi negara bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi realiti dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia," jelas Dr Barjoyai lagi.
コメント