Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melalui pengalaman yang pelbagai dan penuh keperitan untuk mengembalikan keadilan dan negara hukum ke dalam sistem pentadbiran Malaysia.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN pusat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin percubaan sesetengah anggota mempertikaikan keupayaan Anwar ketika ini, selepas parti mengalami siri kekalahan Pilihan Raya Negeri di Melaka, Sarawak dan Johor adalah tidak boleh diterima memandangkan jasa besar Anwar kepada parti.
Katanya, tidak salah mengkritik atau memberi cadangan tetapi jangan melebihi had tersebut.
"Kalau ada suara memperlecehkan kepimpinan Datuk Seri Anwar, pada saya ia melampau. Kritik ok, pendapat boleh tetapi jangan perlecehkan apa yang beliau lalui dan kita sama sama lalui sebagai satu generasi," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Kongres Generasi KEADILAN yang mengumpulkan para pejuang awal parti itu, pagi ini.
Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, satu perkara yang beliau ingat pada waktu awal perjuangan reformasi 1998 adalah pesan Anwar kepadanya agar sentiasa menunjukkan 'kekuatan' dalam berpolitik.
Namun, katanya, pertunjukan kekuatan itu janganlah sampai memakan diri
"Sewaktu 1998, sebelum beberapa hari 20 September (hari Anwar ditahan) saya masih di UIA sebagai bekas presiden mahasiswa. Bila dipanggil beberapa pimpinan pelajar di rumah, untuk gerakan (himpunan) 20 September 1998.
"Datuk Seri cakap dengan saya, dia kata Shamsul dalam politik kita mesti tunjuk kita kuat. Jadi saya nak banner kita mesti banyak dan pemuda mesti di barisan hadapan.
"Tetapi jangan benarkan rasa kuat itu masuk dalam kepala kita (menguasai diri)
"Kalau itu berlaku maka politik kita akan habis. Itu pada saya pesan cukup agung buat kita.
"Jangan rasa kekuatan masuk dalam kepala, mesti ada rasa rendah diri," katanya mengimbau kenangan gerakan Reformasi 1998.
Beliau juga bernostalgia mengenai gambar berjubah graduasi bersama Sultan Pahang dengan terlekat reben putih.
Katanya, ketika itu pelajar 90% pelajar UIA memakai pakai reben putih tanda sokongan kepada perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Comments