Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun petang tadi mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal kedua.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah, kira kira pukul 4.00 petang tadi.
Majlis angkat sumpah itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke serta kepimpinan Kerajaan Perpaduan negeri.
Pilihan Raya Negeri untuk Negeri Sembilan pada Sabtu lepas menyaksikan gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat 31 kerusi iaitu 17 kerusi PH dan 14 kerusi BN manakala Perikatan Nasional (PN), 5 kerusi.
Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman dan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Comments