Dasar Zero Tolarence Buli KPT Perlu Menyeluruh
- Suara Keadilan

- Aug 18
- 3 min read
Updated: Aug 20

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Seluruh negara bersimpati dengan kes buli yang menimpa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017. Kejadian tersebut memberi kesedaran berkenaan kes buli yang keterlaluan dalam kalangan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT), aktiviti tersebut seakan-akan menjadi sebuah budaya di menara gading kerana dibiarkan sekian lama.
Telahan tersebut diperkuatkan melalui pendedahan oleh Kemeterian Pengajian Tinggi (KPT) yang sangat menggusarkan, laporan menunjukkan bahawa sebanyak 31 kes buli dilaporkan berlaku di lapan universiti awam dalam tempoh 11 tahun sejak 2014 hingga tahun ini. Pendedahan tersebut membuktikan kes buli di IPT tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil, ia telah menjadi barah yang semakin membiak kerana seakan-akan dinormalisasikan oleh warga kampus tertentu.
Menyedari keparahan kes buli dalam kalangan mahasiswa IPT maka Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah melancarkan penerapan dasar zero tolerance terhadap kes buli menggunakan tujuh langkah utama untuk menangani masalah tersebut.
Fokus utama dasar tersebut adalah dengan tidak melindungi pelajar yang menjadi pelaku kes buli dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwenang bagi mengendalikan siasatan yang telus dan profesional. Dasar ini merupakan komitmen KPT untuk tidak menyembunyikan sebarang kes buli dari pengetahuan umum atas alasan untuk menjaga nama baik IPT. Sekecil atau seremeh apa pun kes buli yang dilaporkan, tindakan akan diambil untuk memberi keadilan kepada mangsa buli.
Kes buli disembunyikan
Komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri KPT ini seolah-olah memberi isyarat bahawa wujud fenomena di mana kes-kes buli yang berlaku di peringkat IPT telah disembunyikan dari pada pengetahuan umum. Kes melibatkan arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain adalah contoh terbaik di mana dalam perbicaraan dimahkamah, dimaklumkan bahawa ramai saksi tahu Zulfarhan dibuli tetapi tiada yang melaporkannya kepada pihak berwajib.

Keadaan ini seolah-olah menunjukkan budaya takut, tutup mulut dan normalisasi buli sudah menjadi perkara biasa dalam persekitaran kampus. Komitmen yang diberikan oleh Menteri KPT ini sepatutnya bukan sahaja menjadi amaran kepada pembuli dalam kalangan mahasiswa IPT, ia juga menjadi amaran kepada pihak pentadbiran IPT untuk mengendalikan kes buli secara telus.
Secara adilnya, dalam setiap laporan kes melibatkan aktiviti buli, tidak pernah dibuktikan bahawa pihak pentadbiran IPT terlibat menutup atau mengenepikan sebarang laporan kes buli. Namun sikap mahasiswa IPT yang ternormalisasi dengan kes buli seperti ada kaitan dengan pihak pentadbiran IPT.
Aktiviti buli yang seakan-akan menjadi budaya dalam kalangan warga kampus bukan berlaku dalam tempoh yang singkat. Budaya buli ini memerlukan tempoh masa yang panjang sebelum ia dinormalisasikan, sepanjang tempoh tersebut mustahil bagi pihak pentadbiran IPT untuk tidak mengetahui berkenaan aktiviti tersebut.
Pentadbir IPT guna dasar anti-buli
Justeru, komitmen yang ditunjukkan oleh Menteri KPT dalam bentuk penerapan dasar zero tolerance terhadap kes buli sepatutnya tidak hanya terpakai dalam kalangan mahasiswa IPT. Dasar tersebut seharusnya turut terpakai kepada pihak pentadbiran IPT.
Sekiranya wujud tindakan berbentuk normalisasi budaya buli yang dibenarkan oleh pihak pentadbiran IPT sama ada secara sengaja atau tidak, hukuman dan tindakan tatatertib yang sama seperti yang dikenakan terhadap pelaku buli perlu dilaksanakan terhadap kakitangan pentadbiran IPT yang terlibat.
Komitmen yang diberikan oleh Menteri KPT seharusnya dipuji kerana ketegasan tersebut menunjukkan keseriusan sebenar KPT dalam usaha membenteras budaya buli di IPT.
Namun kata pepatah mengingatkan kita bahawa ‘Ikan Busuk Dari Kepalanya”. Usaha membenteras budaya buli di IPT akan benar-benar berjaya jika ia bermula dari peringkat paling atas sehingga ke peringkat paling bawah. Semoga komitmen oleh Menteri KPT ini menjadi noktah kepada budaya buli di IPT.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor dan juga Pensyarah Kanan Universiti Poly-Tech Malaysia









Comments