
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam proses fasa akhir untuk memuktamadkan dasar pendidikan wajib hingga ke peringkat sekolah menengah agar pelajar di negara ini tidak mengalami masalah keciciran.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata keciciran pelajar tidak akan berlaku jika anak-anak diwajibkan belajar hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila wujudnya dasar baharu itu.
Beliau juga memaklumkan negara berdepan masalah enrolmen di peringkat prasekolah dan sekolah menengah tetapi bukan bagi sekolah rendah.
"Enrolmen sekolah rendah kita tiada masalah, 99 peratus, kita mencapai sasaran sejagat sebab kita ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah rendah," katanya ketika menjadi tetamu program ‘Wanita Question Time’ malam tadi.
Program temu wanita itu turut dihadiri Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar dan Bekas Ahli Undangan Negeri Pulau Pinang (ADUN) Penanti Dr Norlela serta Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Noraini Nordin selaku moderator.
Tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, kementeriannya kini memperluas bilangan prasekolah kepada 118 buah bagi tahun ini untuk menyelesaikan masalah persekolah awal kanak-kanak berkenaan.
Jelasnya, ia sebagai langkah intervensi awal bagi menghalang keciciran murid di peringkat pendidikan awal kanak-kanak.
"Saya sangat bahagia melihat prasekolah dua sesi, ini menunjukkan prasekolah kita mendapat sambutan jauh lebih baik sebab itu, kita kena dukung pendidikan awal supaya prasekolah berada di sekolah rendah," katanya.
Tambahnya, dalam usaha kerajaan memastikan tiada keciciran murid termasuk golongan berkeperluan pendidikan khas, intervensi awal penting untuk membantu mengenal pasti keperluan mereka dari umur empat hingga enam tahun lagi.
Selain itu, Fadhlina juga sempat berkongsi bahawa kualiti pendidikan negara adalah jauh lebih baik berbanding negara lain di Asia Tenggara kerana semua guru diwajibkan memiliki diploma pendidikan awal kanak-kanak sebagai syarat wajib untuk menjadi pengajar.