Peruntukan ekonomi yang mengutamakan Bumiputera sejak puluhan tahun lalu terbukti tidak menjana ekonomi dan memperbaiki jurang kesenjangan antara kaum, sebaliknya menyuburkan penyelewengan berskala besar.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dalam perbahasan Belanjawan 2021 baru-baru ini mengungkapkan kegagalan dasar ekonomi berasaskan kaum itu dan tidak mahu kerajaan Perikatan Nasional mengulangi dasar yang gagal pada era BN.
Katanya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagaimana amalan kerajaan sebelum ini hanya menghasilkan segelintir kelompok elit Melayu tetapi memangsakan Melayu marhaen. Dasar itu tidak perlu dikitar semula dalam pandemik Covid 19 dengan mengutamakan peruntukan sebesar RM22 bilion untuk Bumiputera.
"Penerapan pendekatan baru diperlukan kerana serampang kedua DEB yang sepatutnya bertujuan untuk menangani keseimbangan ekonomi antara etnik dengan penggunaan kuota Bumiputera dalam perniagaan, pendidikan dan kegiatan ekonomi lain telah mengakibatkan politik patronage dan rent-seeking yang membawa kepada rasuah.
"Sebahagian besar daripada hasil kerajaan sebanyak RM1.1 trilion selama 20 tahun telah diberikan kepada kontraktor Bumiputera. Walaupun demikian, sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar tetap masih kurang daripada 9%
"Sekiranya jumlah hasil kerajaan selama 50 tahun dari tahun 1971 dikira, pemulangan sebanyak 9% tentunya terlalu kecil sebagai balasan kos DEB. Ini tidak termasuk penderitaan dan pengorbanan bukan Melayu yang kehilangan peluang untuk kehidupan yang lebih baik berlandaskan bakat dan usaha mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Hal itu, menurut William perlu diperbetulkan dalam Wawasan Kemakmuran 2030. Sebaliknya, kerajaan PN hari ini seolah-olah ingin mengulang semula pendekatan lama hanya kerana mahukan sokongan politik orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke 15.
"Dengan hanya 2.1% daripada 20 golongan kaya teratas adalah Melayu, persoalannya siapakah yang memperoleh semua kekayaan itu apabila lebih daripada RM1.1 trilion dibelanjakan untuk Agenda Bumiputera? Pelaksanaan Agenda Bumiputera tidak dapat dicapai disebabkan oleh kleptokrasi, nepotisme, kronisme dan amalan rasuah.
"Cadangan dalam belanjawan kali ini yang bertujuan menerapkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilihat merupakan lanjutan daripada dasar pengutamaan kaum yang mana ia hanya akan membawa kepada hasil yang sama buruk (dengan pemerintahan BN)," katanya.
Justeru, Wiliam mencadangkan pendekatan peruntukan ekonomi bagi semua kaum yang terkesan akibat Covid 19 diberi keutamaan.
Katanya, kerajaan perlu menyelesaikan isu pokok yang mengancam ekonomi. Sekiranya beberapa langkah perlu tidak dibuat maka kelemahan itu mungkin mengakibatkan penutupan lebih banyak industri dan perniagaan seterusnya merugikan semua kaum di Malaysia.
Beliau menggariskan 4 perkara utama yang perlu diberi perhatian, iaitu: memanjangkan moratorium sehingga Mac 2021; Program Subsidi Upah Bersasar yang tamat dalam 3 bulan akan menjejaskan 70,000 majikan dan 900,000 pekerja yang perlu diambilkira; RM50 juta untuk masalah pekerja sektor penerbangan yang diberhentikan namun tiada peruntukan untuk sektor pelancongan, perhotelan dan peruncitan serta 9,675 PKS ditutup semasa fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 Mac hingga 9 Jun sementara 22,794 perniagaan ditutup dari Jun hingga September semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang memerlukan perhatian segera kerajaan.
William juga mencadangkan konsep Masyarakat Bersama diwujudkan bagi memastikan kemakmuran dikongsi oleh pelbagai kaum yang sama-sama membina semula ekonomi Malaysia pasca Covid 19.
"Masyarakat Bersama menjana keuntungan ekonomi dengan memanfaatkan kemahiran, kekuatan dan bakat seluruh rakyat. Masyarakat Bersama turut mewujudkan komuniti yang lebih selamat dan sejahtera.
"Di mana setiap orang mempunyai kapasiti yang sama untuk terlibat dan memanfaatkan peluang ekonomi, politik dan sosial tanpa mengira bangsa, etnik, agama, bahasa dan lain-lain identiti, maka hubungan antara kumpulan akan menjadi damai dan semestinya wajar," katanya lagi.
William membuat kesimpulan, sekiranya Belanjawan 2021 tidak dipinda bagi membawa negara ke arah yang lebih baik maka sewajarnya belanjawan kali ini tidak disokong.
Comments