Dasar Speed Selangor tarik aliran pelabur lebih kukuh - Exco
- Suara Keadilan

- Dec 23, 2025
- 1 min read

Kerajaan Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelabur, merangkumi pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI).
Exco Pelaburan Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, pelaksanaan Dasar Speed Selangor yang dilancarkan pada Oktober lalu berjaya mempercepatkan proses kelulusan pembinaan kilang sekali gus mewujudkan aliran pelabur yang kukuh ke negeri ini.
Tambahnya, dasar tersebut turut menerima sambutan baik dengan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kawasan perindustrian sedang dibangunkan, termasuk di Klang, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Sepang, menerima banyak pertanyaan berkaitan dasar baharu berkenaan.
"Melalui inisiatif dan dasar baharu ini, kami berharap kecekapan dalam proses kelulusan pembinaan kilang dapat dipertingkatkan. Inilah tawaran Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Speed Selangor," katanya dipetik.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembangunan fasa kedua fasiliti Syntec Intelligence Technology (SYNTEC) dengan komitmen pelaburan melebihi RM78 juta di Bandar Bukit Raja, Klang, pada Isnin.
Dasar SPEED Selangor diperkenalkan bagi mempercepatkan kelulusan projek pembangunan serta lesen perniagaan dengan menekankan kemudahan menjalankan perniagaan.
Ia memastikan proses yang pantas dan cekap oleh PBT tanpa menjejaskan ketelusan serta akauntabiliti kerajaan, dengan tempoh kelulusan dipendekkan daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek perindustrian dan komersial berimpak tinggi serta strategik.
Dalam pada itu, Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian khusus kepada projek DDI sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mengimbangi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Selangor secara mampan.









Comments