![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_dd1b580aca734001865b12190aeec6a3~mv2.jpeg/v1/fill/w_660,h_420,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_dd1b580aca734001865b12190aeec6a3~mv2.jpeg)
Kementerian Pendidikan (KPM) kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) kata Menterinya, Fadhlina Sidek.
Menjawab soalan Ahli Parlimen Radzi Jidin (PN - Putrajaya) di Dewan Rakyat semalam berhubung bilakah dasar itu akan dilaksanakan, Fadhlina berkata pihak kementerian memerlukan sedikit masa lagi sebelum dasar tersebut dapat dibentangkan .
Ketika ini KPM jelasnya, sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan semua pandangan dan input diambil kira.
"KPM sentiasa komited menambah baik sistem pembelajaran berasaskan digital secara berterusan untuk memenuhi keperluan pendidikan masa depan," katanya.
DPD disifatkan sebagai elemen penting dalam pengajaran dan pembelajaran murid di negara ini pada masa hadapan. Ia bakal melengkapkan keseluruhan ekosistem pendidikan khususnya pendidikan digital negara.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu Fadhlina berkata, pihak kementerian komited memastikan kesemua 10,233 sekolah di seluruh negara mempunyai capaian internet jalur lebar dengan kelajuan 30Mbps hingga 300Mbps.
Katanya, sebanyak 5,027 sekolah dilengkapi talian gentian optik, 4,701 sekolah dengan talian jalur lebar tanpa wayar 4G dan 505 sekolah mempunyai talian satelit.
"KPM juga sedang merancang untuk menaik taraf capaian internet yang mengutamakan teknologi fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga 1,500Mbps bergantung kepada saiz dan populasi premis institusi pendidikan serta institusi lain bawah KPM.
"Selain itu, KPM juga bercadang menaik taraf infrastruktur rangkaian dalaman yang membolehkan internet dicapai dari semua lokasi dalam kawasan premis institusi bawah KPM," jelas Ketua Wanita KEADILAN itu.
Comentarios