Dasar peluasan SST dibuat teliti, rakyat terbanyak tidak tanggung beban
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerajaan memberikan jaminan pelaksanaan beberapa dasar baharu termasuk peluasan cukai akan dipastikan tidak menyebabkan rakyat terbanyak menanggung beban, kata Pejabat Perdana Menteri.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa setiap keputusan akan dibuat secara teliti dengan penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan.
"Prinsip utama kerajaan jelas, beban tidak akan ditanggung oleh rakyat terbanyak. Sebaliknya, hasil cukai digunakan semula untuk program yang pro-rakyat," kata beliau dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Sambil menyatakan kerajaan mendengar keresahan rakyat, Tunku Nashrul menjelaskan peluasan cukai diperlukan demi memastikan kelanjutan fiskal negara memandangkan Malaysia merupakan antara negara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar paling rendah di dunia iaitu sekitar 12%.
"Ini bermakna ruang penjanaan hasil masih sempit," ujarnya.
Tunku Nashrul menjelaskan, hasil cukai yang dikutip negara telah disalurkan bagi manfaat rakyat antaranya RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memanfaatkan sembilan juta penerima.
Katanya sejumlah RM400 juta disalurkan untuk membaik pulih klinik-klinik usang manakala lebih RM600 juta bagi membaiki lebih 8,000 tandas sekolah yang memberi manfaat kepada lebih lima juta pelajar.
"Pelbagai lagi inisiatif baik untuk rakyat yang sedang dan bakal dilaksanakan kerajaan. Inilah asas sebenar kepada setiap dasar Kerajaan MADANI, iaitu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dengan pendekatan yang bertanggungjawab dan menyeluruh," jelas beliau lagi.
Comentarios