top of page

Dasar OKU Selangor 2026-2030 kukuh agenda pembangunan inklusif

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan Selangor terus memperkukuh agenda pembangunan inklusif dengan meletakkan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai rakan kongsi setara dalam kemajuan negeri.


Exco Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari (gambar) berkata, komitmen tersebut dizahirkan melalui pengenalan Dasar OKU Selangor dan Pelan Tindakan 2026–2030 yang kini menjadi langkah strategik baharu Kerajaan Negeri.


Jelasnya, pelaksanaan dasar komprehensif itu menandakan anjakan paradigma penting apabila Selangor beralih daripada pendekatan berasaskan kebajikan yang bersifat pasif, kepada pendekatan yang menekankan hak, penyertaan aktif, serta pemberdayaan menyeluruh.


"Dasar dan pelan tindakan ini dibangunkan berasaskan realiti serta data lapangan menerusi kajian menyeluruh. Ia melibatkan kerjasama komuniti OKU, penjaga, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, dan pihak akademia," katanya dipetik selepas melancarkan dokumen berkenaan di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada Selasa.


Anfaal yang juga ADN Taman Templer sementara itu menambah, dokumen tersebut digubal bagi menutup jurang antara dasar dan pelaksanaan menerusi penekanan kepada beberapa fokus termasuk pasak utama dasar berteraskan Maqasid Syariah iaitu nilai ihsan, keadilan serta kesejahteraan manusiawi.


"Ini termasuk memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan, intervensi awal, sokongan kesihatan mental buat OKU serta penjaga, kebolehpasaran ekonomi dan kemudahan ibadah inklusif," katanya.


Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mei lalu meluluskan Dasar OKU Selangor sebagai langkah memperkukuh hak serta inklusiviti golongan berkenaan.


Pelaksanaan dasar itu dipandu secara berstruktur oleh lima teras utama iaitu Kesejahteraan Hidup dan Kesaksamaan Sosial; Pendidikan dan Pembangunan Sepanjang Hayat; Produktiviti dan Pembangunan Ekonomi; Aksesibiliti dan Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) serta Tadbir Urus dan Advokasi OKU.


"Lima teras utama ini bagi menterjemahkan matlamat kepada tindakan nyata bagi membina Selangor yang inklusif untuk semua," tambah Anfaal.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page