top of page

Dasar Industri Pertahanan pertingkatkan teknologi persenjataan negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read
DS Anwar pada Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.
DS Anwar pada Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan (DIPN) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara.

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu melibatkan segelintir individu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak seharusnya mencoreng imej dan reputasi keseluruhan pegawai dan anggota di semua peringkat yang telah berkhidmat dengan baik.


Beliau berkata, meskipun kes berkenaan masih dalam siasatan dan menunggu keputusan mahkamah, para pegawai dan anggota yang sedang berkhidmat diharap kekal berpendirian tegas memandangkan pencapaian ekonomi negara yang baik pada hari ini yang turut bertunjangkan kepada keamanan dinikmati.


"Semalam kita umumkan perdagangan Malaysia mencatatkan satu lagi rekod, RM3 trilion untuk 2025. Unjuran kita pertumbuhan maksimum (ialah) 4.8%, sekali lagi kita pecah rekod itu dan semua angka-angka itu juga menakjubkan.


"Tentunya peranan ini (merupakan) peranan semua. Jemaah menterinya, ketua setiausahanya, pegawai-pegawai, sektor swasta.


"Tetapi di sebalik itu semua, adalah angkatan bersenjata seperti ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan semua yang bekerja bertungkus-lumus yang menyebabkan rakyat dan negara-negara luar termasuk pelabur yakin untuk datang ke Malaysia melabur dan berdagang," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Majlis Pelancaran Dasar Industri Pertahanan (DIPN) yang diadakan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan beliau tidak pernah meringan atau meremehkan peranan rakan-rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan lain-lain yang menjadi tonggak utama dalam memastikan keselamatan serta kestabilan negara terus terpelihara.


"Sebab itu kita memberi perhatian dan saudara Khaled Nordin tentu maklum (mengenai peranan tersebut) sebagaimana yang telah saya zahirkan dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi Jemaah Menteri," ujar beliau lagi.


Dalam ucapan itu juga PM menyatakan pelaksanaan DIPN akan digerakkan melalui empat ruang tumpuan utama.


Pertama, pengukuhan tadbir urus dan institusi yang mana kerajaan akan memperkasakan Majlis Industri Pertahanan (MIP) sebagai badan penyelaras dasar, manakala Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) akan menjadi pusat

perancangan teknologi pertahanan negara.


Kedua, pembangunan keupayaan dan teknologi. Kerajaan komited memperkasa penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I). Melalui Industrial Collaboration Programme (ICP), pemindahan teknologi daripada rakan luar akan dimanfaatkan

sepenuhnya.


Ketiga, pemantapan ekosistem dan rantaian bekalan. Malaysia mesti membina rantaian bekalan pertahanan

tempatan yang tahan lasak. Vendor-vendor tempatan akan dibantu melalui insentif fiskal, serta program bimbingan industri.


Manakala keempat, peningkatan daya saing global dan eksport. DIPN menetapkan sasaran agar Malaysia muncul sebagai Hab Pertahanan Serantau dengan merangka strategi eksport pertahanan bagi memperluas pasaran antarabangsa dengan Malaysia

pengukuhan kerjasama dengan ASEAN, OIC, dan negara-negara industri utama.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page