Ekonomi Madani yang dilancarkan pada hujung Julai lalu turut merangkumi Dasar Gaji Progresif yang dirangka untuk melonjakkan kadar upah buat para pekerja di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ekonomi Madani yang menetapkan halatuju negara dalam tempoh sederhana meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia akan memastikan gaji pekerja meningkat selepas peratusan pendapatan pekerja (wage share ratio) telah menurun daripada 37.2% pada 2020 kepada 32.4% pada 2022.
"Kerajaan sehubungan itu menetapkan sasaran nisbah ini ditingkatkan kepada 45% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
"Isu gaji merupakan perkara pokok yang tidak boleh diabaikan lagi. Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan minggu lepas, lebih 2 juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
"Situasi ini lebih membimbangkan buat golongan muda antara umur 20 - 24 tahun di mana gaji penengah mereka hanyalah RM1,682 sebulan," katanya dalam satu kenyataan.
PM turut bimbang apabila kebanyakan pekerja gaji mereka hanya akan meningkat kepada RM3,500, pada paras tertinggi sekitar umur 40 - 49 tahun sepanjang kerjaya mereka.
Hal itu, katanya, menyukarkan para pekerja untuk menikmati kehidupan yang baik selepas usia persaraan kerana terlalu lewat untuk memiliki harta.
Oleh itu, katanya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah berbincang mengenai cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji pekerja dapat ditingkatkan dengan lebih konsisten dan pengagihan gaji dilakukan lebih seimbang.
"Dasar gaji progresif ini adalah bersifat sukarela (voluntary), berteraskan insentif (incentive-based), dan terkait dengan produktiviti (productivity-linked).
"Model dasar ini diusulkan setelah MTEN mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja. Dasar ini, yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum, akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan, dan peringkat.
"Sesi libat urus dan tinjauan awal telah menunjukkan sebanyak 62% pekerja dan 80% syarikat menyambut baik cadangan Dasar Gaji Progresif dengan ciri-ciri yang dinyatakan, dan MTEN berharap dasar ini akan menerima sambutan dan penyertaan sebanyak mungkin syarikat dan pekerja," katanya.
Langkah seterusnya, kata Ahli Parlimen Tambun itu adalah sesi perbincangan dan libat urus dengan pihak berkepentingan, terutamanya para pemain industri, perniagaan dan pekerja.
"Perkara ini akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi memperhalusi mekanisma pelaksanaan secara berperingkat dan meneroka keperluan untuk memperuntukkan dana sebagai insentif yang akan ditentukan berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan dan keperluan dasar.
MTEN berpandangan bahawa Dasar Gaji Progresif merupakan salah satu reformasi pasaran pekerja untuk memastikan pekerja Malaysia tidak dibebankan dengan kos sara hidup dan dapat menikmati pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, demi kesejahteraan rakyat dan mencapai agenda mengangkat ekonomi negara," katanya lagi.
Comments