top of page

Dasar Gaji Progresif: Lebih 27,000 pekerja nikmati kenaikan gaji

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 23
  • 1 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Lebih 27,000 pekerja kini menikmati kenaikan pendapatan melalui pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini.


Menteri Sumber Manusia, Steven Sim (gambar) berkata, berdasarkan perangkaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 2,489 majikan kini menyertai inisiatif tersebut sekaligus mencerminkan keyakinan industri terhadap model emolumen berasaskan kemahiran dan produktiviti yang diperkenal kerajaan.


Tambah beliau, lebih 45 peratus pekerja profesional hingga operator mesin menerima kenaikan gaji sekurang-kurangnya RM300, manakala 22 peratus penerimanya adalah belia, membuktikan DGP berupaya menarik serta mengekalkan tenaga muda berbakat dalam pasaran kerja negara.


"Peningkatan penyertaan ini turut dipacu oleh manfaat langsung kepada majikan, iaitu insentif kewangan bulanan yang dibayar terus oleh Perkeso sehingga 2027, di samping akses kepada tenaga kerja yang lebih mahir, produktif dan stabil," katanya dalam kenyataan.


Terdahulu, beliau menghadiri sesi libat urus DGP dan Majlis Penghargaan kepada majikan DGP di Bukit Mertajam pada Sabtu.


Sementara itu beliau menyeru lebih banyak majikan untuk menyertai DGP sebagai pelaburan strategik terhadap daya saing syarikat masing-masing.


Penyertaan DGG secara sukarela dan berperingkat memberi ruang kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan pelaksanaannya mengikut kemampuan operasi masing-masing.


"DGP sebagai reformasi struktur gaji yang memastikan peningkatan kemahiran sebenar diterjemahkan kepada ganjaran gaji yang setimpal, sekali gus menyokong objektif nasional membina pasaran buruh yang lebih adil, progresif dan mampan," tambahnya.


DGP diperkenalkan selepas pembentangan kertas putih di Dewan Rakyat pada akhir 2023 dan diikuti projek rintis pada Jun hingga Ogos 2024 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun ini.


Bersifat sukarela untuk majikan dengan bantuan tunai dari kerajaan, tujuan utamanya adalah untuk memastikan pemberian gaji yang adil dan menyokong daya saing ekonomi Malaysia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page