Dasar atau model gaji progresif akan dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) 7 Ogos ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata pembentangan itu bagi mendapatkan keputusan dasar sebelum ia boleh dilaksanakan.
Bercakap kepada media selepas Majlis Pengumuman Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Putrajaya pada Jumaat, beliau berkata perbincangan antara kementerian terlibat sudah selesai.
"Apabila keputusan dasar telah diperoleh maka kita boleh umumkan beberapa hala tuju yang utama mengenai gaji progresif," jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai dasar itu, Rafizi berkata, antara cadangan awal yang dipertimbang ialah kertas putih mengenai kedudukan gaji rakyat dibentang di Parlimen pada September depan.
Manakala sesi libat urus dan perbincangan antara pihak majikan dan pekerja bakal dimulakan.
Menyedari ada kebimbangan di pihak majikan bahawa pelaksanaan dasar gaji progresif akan menyebabkan kos operasi perniagaan meningkat, beliau yakin perkara itu akan dapat diatasi.
"Saya yakin apabila model atau dasar gaji progresif itu kita berjaya dapat keputusannya dan diumumkan konsepnya, majikan juga akan turut gembira.
"Pekerja mahupun majikan akan menerima baik model gaji progresif yang akan kita cadangkan selepas dapat keputusan dasar,” tambahnya.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN sebelum ini berkata, dasar gaji progresif akan dibangunkan secara bersama membabitkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sumber Manusia.
Sistem gaji progresif adalah peralihan daripada model pemberian upah minimum kepada kenaikan gaji secara berperingkat dan berfasa supaya setanding dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Comments