Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dijangka akan membentangkan Kertas Dasar Gaji Progresif kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
Rafizi dalam ciapannya di Twitter pada Ahad berkata, langkah itu adalah permulaan usaha kerajaan menaikkan gaji rakyat dan jika usaha itu berjaya dilaksanakan gaji diterima golongan itu dijangka meningkat dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang.
"Data-data terkini berkenaan gaji di setiap negeri adalah membimbangkan dengan median di sembilan negeri di Malaysia adalah RM2,000 atau kurang.
"Di Kelantan, angka ini sedikit sahaja mengatasi gaji minimum RM1,500. Hanya Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang mengatasi gaji median keseluruhan iaitu RM2,600.
"Ini bermaksud, setiap negeri di negara ini memiliki paras gaji median yang lebih rendah berbanding purata kebangsaan," ciapnya.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN sebelum ini menyatakan kebimbangan susulan Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Suku Tahun 2023 menunjukkan sebahagian besar rakyat dibayar gaji yang rendah.
Ujarnya, sebanyak 82 peratus daripada 6.46 juta pekerja formal bergaji kurang dari RM5,000 sebulan manakala 35 peratus dibayar RM2,000 ke bawah dengan 50 peratus populasi bekerja di Kelantan berpendapatan lebih sedikit RM100 daripada gaji minimum.
"Separuh populasi bekerja di Kuala Lumpur berpendapatan RM3,927 atau kurang yang mana ia tidak mencukupi dengan kos sara hidup yang meningkat.
"Perbezaan gaji yang berbeza ini hanya akan meningkatkan lagi jurang pembangunan," jelasnya.
Sementara itu melalui ciapannya, Rafizi turut menegaskan dasar baharu berkaitan gaji yang cuba diusaha kerajaan akan melibatkan semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.
Commentaires