top of page

Dasar ekonomi untuk jangka panjang, Rafizi lakukan terbaik - Razeef



Kritikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi bahawa Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli tidak berupaya merancang dasar yang lebih baik daripada dasar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan BN pada era pentadbiran Najib Razak, dipersoalkan banyak pihak.


Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, dasar ekonomi bukanlah sebagaimana dibayangkan oleh Puad boleh dilihat perubahannya dalam beberapa minggu atau bulan.


Sebaliknya, kata beliau, Rafizi telah merangka dasar ekonomi jangka sederhana dan panjang yang amat baik tetapi memerlukan masa untuk melihat hasilnya.


"Kenyataan Puad jelas memperlihatkan beliau tidak peka dengan perkembangan ekonomi terutama untuk jangka masa panjang.


"Kita boleh lihat pergerakan sektor ekonomi yang mula merancak serta kemasukan pelaburan yang jelas akan merancakkan lagi pertumbuhan dalam masa terdekat.


"Saya juga ingin mempersoal tahap pemikiran Puad bila beliau bertanya tentang ketiadaan dasar yang lebih baik berbanding BR1M, adakah beliau bermaksud BR1M merupakan dasar terbaik yang pernah ada?


"Jika ini level pemikiran Puad, saya ingin nyatakan BR1M bukanlah dasar terbaik kerana ia tidak dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Razeef, dasar yang diilhamkan Rafizi seperti Inisiatif Pendapatan Rakyat yang agak sederhana itu pun memerlukan masa beberapa bulan untuk melihat hasil.


Sehubungan itu, beliau mahu Puad melihat hasil Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang telah mencipta sejumlah ushawan mesin vendor setelah beberapa bulan dilancarkan.


"Ini inisiatif serampang dua mata dengan membantu meningkatkan pendapatan usahawan makanan, selain rakyat dapat membeli makanan dengan murah serendah RM2.


"Beberapa peniaga mesin layan diri di bawah IPR dilaporkan mendapat pendapatan bulanan melebihi RM2,000 juga ada mendapat sehingga RM1,000 seminggu. Ini jelas kejayaan inisiatif di bawah Kementerian Ekonomi dalam membantu meningkatkan pendapatan rakyat.


"INSAN juga akan diperluas, termasuk inisiatif lain di bawah IPR seperti Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) apabila Rafizi mengumumkan tanah seluas 323 hektar milik Kerajaan Persekutuan akan dijadikan tapak projek tanaman fertigasi bagi membantu golongan miskin tegar dan kumpulan B40," katanya.


Terbukti, kata Razeef, pendekatan Kerajaan Madani tidak sama dengan kerajaan sebelum ini yang memberikan bantuan tunai kepada rakyat secara 'disuap' tanpa perlu berusaha dan meningkatkan jumlahnya saban tahun.


Oleh itu, Razeef menasihatkan Puad agar tidak terlalu gopoh mengeluarkan kenyataan.


Apatah lagi, katanya berkaitan naik turun ringgit dengan menyindir sekiranya 'Rafizi turun, ringgit naik'. Tegas Razeef, nilai matawang bagi ekonomi yang tidak besar seperti Malaysia lebih ditentukan oleh perkembangan ekonomi dunia dan serantau bukan semata mata faktor dalam negara.


"Puad cuba melakukan provokasi dengan menyatakan "Rafizi turun, ringgit naik". Saya yakin Puad tahu penyusutan nilai ringgit sejak Februari 2023 adalah rentetan daripada pelbagai krisis yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) dan keadaan itu berada di luar kawalan kerajaan.


"Antaranya isu keruntuhan Silicon Valley Bank (SVB). Sebelum ini ringgit semakin mengukuh dengan nilai RM4.20 untuk 1AS$, namun susut sejak Februari akibat krisis yang di luar kawalan kerajaan. Ringgit diniagakan lemah berbanding dolar AS ekoran kekurangan petunjuk mengenai penyelesaian kepada kebuntuan had (siling) hutang AS," katanya lagi.


Tambah beliau, sebagai salah seorang pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan, Puad seharusnya membantu menerangkan kepada rakyat dan bukannya mencari populariti dengan cuba menimbulkan keraguan serta menyampaikan perkara yang tidak benar kepada rakyat yang kurang faham.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page