top of page

Dasar Biodiesel negara disemak selari hala tuju peralihan tenaga

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang memperhalusi dan menyemak semula Dasar Biobahan Api Negara.


Langkah strategik itu bertujuan memperkukuh jaminan keselamatan tenaga Malaysia menerusi pemanfaatan sumber biojisim dan ekonomi kitaran, sekali gus memastikan produk biobahan api tempatan kekal kompetitif di peringkat global selari dengan hala tuju peralihan tenaga serta komitmen negara mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.


"Semakan itu juga adalah sebahagian daripada usaha mendepani cabaran perubahan iklim selain memenuhi piawaian kemampanan antarabangsa yang semakin ketat.


"Kementerian komited memperkasa industri biobahan api melalui pendekatan holistik dan inovasi teknologi, bagi menjadikan sektor agrikomoditi sebagai pemacu utama kelestarian ekonomi negara," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan.


Sebagai mengulas mengenai status Program Biodiesel Negara, KPK menjelaskan pelaksanaan peringkat B10 bagi sektor pengangkutan darat kini sedang diperluaskan secara berperingkat kepada adunan B20.


Peralihan B20 tersebut disokong oleh ketersediaan infrastruktur domestik yang kukuh melibatkan 19 loji pengeluaran biodiesel berlesen yang membekalkan Palm Methyl Ester (PME) ke 34 depot pengadunan di seluruh negara.


"Keupayaan loji tempatan menghasilkan biodiesel yang memenuhi standard kualiti antarabangsa mencerminkan kesiapsiagaan industri dan rantaian bekalan kita. Usaha ini sekali gus mengukuhkan aspirasi di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN 2030)," katanya.


Menurut kementerian itu, selain penggunaan minyak sawit mentah (CPO), kerajaan turut menggalakkan penggunaan bahan mentah generasi kedua seperti minyak keladak (sludge palm oil) dan minyak masak terpakai (UCO) bagi penghasilan biobahan api seperti Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dan Used Cooking Oil Methyl Ester (UCOME).


"Buat masa ini penghasilan biobahan api generasi kedua lebih tertumpu kepada pasaran eksport berikutan permintaan tinggi antarabangsa terhadap bahan api rendah karbon," tambahnya.


KPK sementara itu menegaskan pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh dan pemain industri bagi memastikan setiap dasar yang digubal berpaksikan kepada analisis menyeluruh dan inklusif.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page