Dasar berimpak tinggi dilaksana KESUMA bukti kesungguhan reformasi
- Azuan Ab Rahman

- 19 hours ago
- 1 min read

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) memuji dasar berimpak tinggi dilaksana Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam tempoh 100 hari pertama di bawah pentadbiran Menterinya, Datuk Seri R Ramanan.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon (gambar) berkata, pencapaian tersebut telah membuktikan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan reformasi kebajikan pekerja secara pantas dan berkesan.
"DPMM menyokong penuh pendekatan itu dan akan bekerjasama rapat dengan KESUMA dalam memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat terus kepada rakyat," katanya dalam kenyataan.
Ramanan yang juga Naib presiden KEADILAN sebelum ini memaklumkan dalam tempoh genap 100 hari menerajui KESUMA, fokus utama beliau dan kementerian adalah memastikan setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek perlindungan sosial, pembangunan kemahiran serta kebajikan pekerja.
Beliau turut memaklumkan, KESUMA juga dalam peringkat akhir untuk membentangkan cadangan memperkenalkan Skim Pengembara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Kabinet.
Norsyahrin sementara itu berkata, pihaknya akan menyokong cadangan Skim Pengembara yang dijangka memberi perlindungan kepada lebih 400,000 rakyat Malaysia, khususnya pekerja yang berulang-alik ke Singapura.
"Skim ini sangat penting dalam melindungi pekerja rentas sempadan yang terdedah kepada risiko harian.
"DPMM turut mencadangkan supaya skim ini diperluas kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, seperti Australia, Arab Saudi, Mesir dan Dubai pada masa akan datang," tambahnya.
Norsyahrin menerusi kenyataan sama berkata, dalam sesi pertemuan bersama Ramanan sebelum ini, pihaknya turut mengemukakan cadangan berhubung program 'upskilling' dan 'reskilling' untuk pekerja sektor gig dan program Lindung Pengusaha Ekonomi Gig untuk pertimbangan kementerian.




Comments