Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Awan Negara yang memberi penekanan terhadap empat teras utama termasuk meningkatkan inovasi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan berdasarkan teknologi penyimpanan data awan (cloud).
Perdana Menteri berkata dengan memanfaatkan teknologi awan, kerajaan berhasrat ingin memodenkan operasi pentadbiran awan, memupuk penglibatan rakyat serta menyelaras penyampaian perkhidmatan awam.
"Kedua, kita juga mahu menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat pemula niaga memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses ke pasaran global," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia yang merangkumi pelaburan bernilai AS$2 bilion di Kuala Lumpur hari ini.
Pusat data Google yang sedang dalam pembinaan di Elmina Business Park, Selangor dijangka dapat menangani peningkatan permintaan terhadap keupayaan awan Google, inovasi kecerdasan buatan (AI) dan perkhidmatan digital lain.
Pelaburan Google itu juga dijangka menjana impak ekonomi bernilai lebih AS$3.2 bilion serta mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang 2030.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk mengukuhkan kepercayaan pengguna dan keselamatan data, termasuk mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh demi melindungi data sensitif serta infrastruktur kritikal dalam persekitaran awan awam dan swasta.
"Bagi teras keempat, kita akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital. Pendekatan kita akan berasaskan rakyat serta inklusif, menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan akses serta kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital," kata beliau.
Perdana Menteri turut berkongsi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) generatif dan memerlukan pelaburan daripada rakan teknologi untuk mewujudkan infrastruktur digital yang teguh dan selamat.
"Bagi memacu Malaysia dalam menerajui usaha AI, kerajaan MADANI telah melancarkan Pelan Hala Tuju Bakat AI untuk Malaysia dan Konsortium AI Malaysia sebagai laluan konkrit bagi kemajuannya," kata beliau.
Anwar berkata bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi untuk kemajuan ekonomi, campur tangan dasar strategik adalah penting dengan kerajaan telah meletakkan transformasi digital di tengah-tengah pelan hala tuju ekonominya seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
"Selaras dengan usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain yang berdaya saing dalam landskap AI global, kerajaan sedang menubuhkan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan untuk menyelaraskan semua inisiatif yang berkaitan dengan teknologi AI.
"Dalam tempoh 12 bulan akan datang, kami menyasarkan untuk mencapai beberapa hasil utama, termasuk melengkapkan Pelan Tindakan Teknologi AI (2026-2030) dan penubuhan rangka kerja kawal selia untuk meningkatkan penggunaan teknologi AI yang beretika dan mampan. Kami juga akan mempercepatkan penggunaan AI dalam sektor utama di seluruh Malaysia," ujarnya.
Dari perspektif serantau, Anwar berkata apabila Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, ia akan meletakkan negara ini sebagai juara serantau bagi dasar digital yang berpandangan ke hadapan dan transformatif.
"Saya digalakkan bahawa syarikat teknologi global seperti Google mengiktiraf potensi negara kita dan keazaman untuk menyumbang kepada pertumbuhan kita dengan cara yang ikhlas dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Kami bukan hanya ingin menarik sebarang pelaburan pusat data — kami mahukan rakan kongsi yang berkongsi nilai kami ke arah masa depan yang mampan," katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Google atas keyakinan dan sumbangan mereka kepada Malaysia.
Comments