Dasar alam sekitar: Libat urus berterusan dengan NGO, CSO, industri penting
- Suara Keadilan

- 3 minutes ago
- 4 min read

Oleh: Sidiqin Omar
WAWANCARA: Pendekatan libat urus yang ikhlas dan berterusan bersama pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemain industri merupakan kunci utama dalam memastikan dasar alam sekitar dan kelestarian negara dapat dilaksanakan secara berkesan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, peningkatan kesedaran generasi muda terhadap isu perubahan iklim dan pencemaran alam hari ini perlu difahami dalam konteks sejarah pembangunan yang panjang.
Mengulas cabaran berdepan tuntutan golongan muda, CSO dan NGO yang semakin kritikal terhadap isu alam sekitar, beliau menjelaskan apa yang berlaku hari ini bukan berlaku semalam kerana hasil keputusan dan dasar lama yang kesannya baru disedari dan dirasai ketika ini.
"Jangan fikir kompleks sangat, yang penting kita faham nadi mereka. Mesti ada engagement, mesti ada libat urus yang jujur dan ikhlas, serta sudi mendengar dengan teliti, bukan sekadar "ajak-ajak ayam".
"Saya memahami perkara tersebut. Justeru, apabila berada dalam kementerian ini, antara perkara penting yang saya pelajari melalui perbincangan dengan pegawai lama, kepimpinan kementerian serta rakan-rakan di kementerian lain ialah hakikat bahawa NRES mempunyai dua agenda atau dua kumpulan utama yang perlu diberi keutamaan untuk libat urus dan rundingan.
"Pertama ialah masyarakat sivil, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan pakar, ahli akademik serta badan pemikir (think tank). Kedua ialah pihak industri. Manakala kumpulan ketiga ialah rakyat secara keseluruhan," kata Syed Ibrahim dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.
Syed Ibrahim yang mempunyai latar belakang aktivisme dalam Gerakan Mansuh ISA dan gerakan akar umbi lain berkata, beliau memahami pemikiran NGO dan masyarakat sivil, termasuk perbezaan pendekatan antara kumpulan yang terlalu idealistik dan kumpulan yang lebih realistik.
"Ada yang standardnya sangat tinggi dan ideal, ada yang faham realiti tetapi nak hasil segera. Kita faham semua itu.
"Ini kerana sekiranya kita hanya berpuas hati dalam ‘gelembung’ sendiri, merasakan penyelesaian yang dirangka sudah memadai, tetapi tidak selari dengan pandangan pihak lain, maka sampai bila pun kita tidak akan mampu memenuhi harapan rakyat dan kumpulan berkepentingan.
"Akhirnya, kita hanya berada dalam angan-angan dan berasa seolah-olah sudah mencapai kejayaan, sedangkan realitinya tidak begitu.
"Atas sebab itu, kementerian telah menyediakan beberapa platform libat urus, antaranya panel konsultasi bersama pihak industri dan panel konsultasi bersama NGO, sebagai ruang perbincangan dan rundingan yang lebih berkesan," kata Ahli Parlimen Ledang itu.
Pihak industri diingatkan kepentingan, kelestarian alam
Dalam pada itu Syed Ibrahim memaklumkan tentang tanggungjawab kementeriannya yang menetapkan kewajipan bagi sesi konsultasi bersama pemain industri, bagi menjelaskan bahawa pembangunan ekonomi penting untuk memacu kemajuan negara, namun ada masa yang sama, kelestarian alam sekitar perlu difahami sebagai nadi kepada kehidupan manusia.
"Dari sudut pandangan umum, industri sering dilihat hanya mementingkan keuntungan, dan hakikatnya perkara itu tidak salah kerana setiap industri mempunyai kos operasi. Untuk memperoleh keuntungan, mereka perlu mengeluarkan modal, mempunyai dana serta kepakaran yang mencukupi.
"Namun sekiranya pembangunan dan pengeluaran diteruskan tanpa mengambil kira kelestarian alam sekitar, akhirnya ia akan memusnahkan kehidupan itu sendiri dan segala usaha pembangunan menjadi tidak bermakna.
"Oleh itu, keseimbangan mesti diwujudkan antara keupayaan industri menghasilkan produk dan kemampuan alam untuk menampung aktiviti tersebut," ujarnya.
NRES alu-alukan pandangan berfakta
Sehubungan itu katanya, NRES menyediakan platform panel konsultasi bersama industri dan NGO sebagai asas rundingan dan libat urus dasar dan panel berkenaan, yang menurut beliau telah dimulakan lebih awal oleh Menteri terdahulu dan akan terus diperkukuhkan.
Sebagai contoh, Syed Ibrahim mendedahkan pertemuannya dengan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) yang memperjuangkan isu hak benih dan kedaulatan makanan. Walaupun isu itu dilihat lebih dekat dengan Kementerian Pertanian, beliau berkata terdapat aspek keselamatan bio di bawah NRES yang perlu diberi perhatian.
Menurut Syed Ibrahim, FKMM memperjuangkan hak terhadap benih padi dan benih tanaman lain dan mendakwa jika benih-benih tersebut dikumpulkan di bawah satu platform dikenali sebagai UPOV (Kesatuan Antarabangsa Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan) akan mengehadkan sistem benih tempatan.
"Ada kemungkinan terdapat situasi di mana sesetengah pesawah atau petani yang memiliki benih-benih istimewa tiba-tiba didatangi pihak luar, yang mendakwa benih tersebut milik mereka dan menjadikannya sebagai "trademark".
"Mereka berpendapat bahawa mereka “menemui” benih itu, sedangkan sebenarnya ia berasal dari Malaysia. Keadaan ini secara tidak langsung menjejaskan kedaulatan makanan negara.
"Situasi sebegini timbul kerana kita terpaksa mematuhi konvensyen tertentu. Secara formal, perkara ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian, Namun, terdapat satu undang-undang atau peraturan yang dikenali sebagai “keselamatan bio” di bawah NRES, yang baru saya sedari.
"Oleh itu, apabila saya meneliti isu ini, saya merasakan kita perlu mengambil perhatian lebih serius. Semasa bertemu dengan FKMM, saya turut meminta pegawai undang-undang NRES meneliti perkara ini.
"Walaupun NRES bukan kementerian utama dalam hal ini, kita merupakan kementerian berkaitan, dan peranan kita adalah untuk meneliti serta memberikan maklum balas terus kepada Kementerian Pertanian.
"Ini menunjukkan bahawa apabila kita menjalin hubungan dengan NGO, mereka boleh memberikan maklum balas yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan. Dan saya percaya, pandangan mereka perlu dihormati.
"Ke hadapan, saya merasakan kita perlu menggunakan sepenuhnya panel-panel konsultasi untuk membina hubungan yang baik dengan industri, agensi, serta NGO.
"Dalam hal ini, segala aspek yang melibatkan industri, CSO-NGO, pihak berkepentingan (stakeholder), ekonomi, dan sebagainya akan terus dibincangkan," ujarnya lanjut.









Comments