top of page

Dakwaan pengundi Cina rindu era Najib tiada fakta, asas - Jalex Lee

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 1 min read

Kenyataan Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz mendakwa kononnya pengundi Cina merindui era pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak amat kabur dan tidak berasas.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Jalex Lee menyifatkan kenyataan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah boleh mengelirukan masyarakat.


"Kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi mengelirukan masyarakat, khususnya dalam suasana politik semasa yang menuntut kejelasan dan ketepatan fakta," katanya dalam satu kenyataan.

Jalex Lee
Jalex Lee

Menurut beliau, setiap kenyataan awam oleh wakil rakyat dan ahli politik perlu berlandaskan data yang sahih serta mempunyai kredibiliti.


"Sebagai wakil rakyat dan ahli politik, setiap kenyataan awam mestilah berlandaskan data yang sahih serta membawa kredibiliti. Segala pandangan yang dikemukakan kepada rakyat perlu disandarkan kepada fakta yang benar, bukannya andaian atau sentimen yang tidak dapat dibuktikan.


"Tanggungjawab kita ialah menyampaikan maklumat yang tepat, membezakan fakta daripada spekulasi, serta menolak budaya menyebarkan naratif yang tidak berasas," tegasnya.


Jalex berkata, mengaitkan sentimen pengundi Cina dengan nostalgia terhadap era pentadbiran yang sering dikaitkan dengan isu rasuah adalah satu gambaran yang tidak adil.


"Pengundi Cina, seperti juga pengundi lain di negara ini, bersifat rasional, matang dan berkeupayaan menilai prestasi serta integriti kepimpinan berdasarkan prinsip tadbir urus yang baik dan ketelusan," ujarnya.


Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan terhadap komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam melaksanakan agenda reformasi sejak tiga tahun pemerintahannya.


"PMX telah menunjukkan komitmen yang jelas terhadap pelaksanaan agenda reformasi. Saya yakin usaha-usaha reformasi ini akan terus diperkasakan dan dipercepatkan demi memenuhi aspirasi rakyat," katanya lagi.


Beliau turut menggesa semua pihak supaya mengamalkan wacana politik yang lebih bertanggungjawab dan berasaskan fakta demi menjaga keharmonian serta kematangan demokrasi negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page