Dasar 1% penjawat awam OKU akan diperbaiki - Dr Zaliha
- Suara Keadilan

- Mar 4, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan sedang mengkaji semula penambahbaikan dasar 1% penjawat awam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, hal ini kerana pengisian golongan itu masih gagal mencapai sasaran meskipun dasar pelaksanaan tersebut telah dilaksana sejak 10 tahun lalu.
Bagaimanapun katanya, terdapat peningkatan terhadap jumlah tersebut dari tahun ke tahun.
"Tahun 2014 (0.23 peratus); tahun 2015 (0.25 peratus); tahun 2-16 (0.28 peratus): 2017 sehingga 2022 (0.29 peratus) manakala 0.3 peratus pada tahun 2023," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi pagi Dewan Rakyat, yang ingin tahu mengenai statistik bagi tempoh 10 tahun peratusan penjawat awam OKU dalam sektor awam sejak dasar berkenaan diperkenalkan.
Tambah Zaliha, peratusan kecil permohonan pekerjaan dalam sektor awam kalangan OKU menjadi punca dasar tersebut gagal dicapai sehingga kini.
Jelasnya, Kajian Kepuasan Bekerja Dalam Kalangan Penjawat Awam OKU yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mendapati golongan itu berhadapan dengan cabaran keupayaan menyesuaikan diri dengan organisasi tempat bekerja.
"Cabaran utama yang dihadapi penjawat awam OKU adalah keupayaan dan kompetensi penjawat awam OKU, tertekan dengan tuntutan kerja dalam keterbatasan upaya serta sokongan dan kemudahan yang diperlukan mereka," ujarnya lagi.









Comments