top of page

Darurat tanpa asas munasabah heret negara ke dalam krisis Perlembagaan



Biro Guaman dan Undang-Undang Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia membantah tindakan terburu-buru Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi tujuan mengisytiharkan darurat ke seluruh negara.


Menurut kenyataan bersama Biro Guaman AMK, konsep 'darurat politik' atau 'darurat kesihatan' yang diwar-warkan oleh sebahagian ahli politik PN tidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan Persekutuan.


Konsep tersebut, kata mereka, hanyalah satu naratif politik desperado yang dijaja oleh Kerajaan PN akibat hilang majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen.


"Sejarah di beberapa negara lain menyaksikan parti pemerintah yang tewas dalam pilihan raya bertindak mengisytiharkan darurat dan enggan menyerahkan kuasa dengan aman.


"Berbeza dengan mereka, setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14, peralihan kuasa telah berlaku dengan aman dan teratur di negara kita. Begitu juga ketika berlakunya krisis politik atau 'Langkah Sheraton' yang diterajui oleh ahli-ahli politik PN sekarang, darurat tidak pernah dicadangkan mahupun menjadi salah satu pilihan kepada kerajaan Pakatan Harapan.


"Sesungguhnya, dalam mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, keberlangsungan urusan politik dalam Parlimen termasuk undi tidak percaya atau berlakunya peralihan kuasa merupakan satu norma biasa dan sudah tentu bukan satu keadaan yang ditakrifkan sebagai darurat mengikut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.


"Kejayaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan petugas barisan hadapan negara dalam menangani gelombang pertama penularan wabak Covid-19 juga telah menunjukkan bahawa kuasa dan perundangan yang sedia ada sudah mencukupi untuk mencegah krisis kesihatan ini," kata mereka dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, kata mereka, rancangan kerajaan untuk pengisytiharan darurat merupakan satu usaha terdesak bagi menyembunyikan fakta bahawa kerajaan PN sememangnya tidak mempunyai keabsahan untuk memerintah.


Selain itu, Kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin selama 8 bulan juga sering kali cuba menunda atau melambatkan urusan dalam Parlimen yang beliau khuatiri akan menguji kepercayaan ahli Dewan Rakyat kepada beliau selalu Perdana Menteri.


"Muhyiddin berpeluang untuk membuktikan beliau mempunyai kepercayaan Ahli Dewan Rakyat melalui undi percaya, tetapi sehingga kini, tidak terdapat undi percaya yang diusulkan terhadap kepimpinan beliau seperti yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein bin Dato’ Onn," kata mereka lagi.


Oleh itu, Biro Guaman AMK menolak usaha terbaharu oleh kerajaan PN untuk melanjutkan hayat kuasa mereka dengan idea darurat ketika negara berada dalam situasi aman.


"Jelas perancangan ini adalah semata-mata untuk mencapai agenda politik PN, bagi menyelamatkan riwayat politik mereka yang bakal tamat dalam masa terdekat. Maka, mereka sanggup menggunakan apa jua cara untuk kekal berpaut kepada kuasa eksekutif, biarpun terdapat risiko untuk mencetuskan krisis perlembagaan (constitutional crisis).


"Seperti yang dinasihati oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan media Istana Negara pada 16 Oktober 2020, kami merayu kepada semua ahli politik untuk mempamerkan kematangan dalam berpolitik serta menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses perundangan mengikuti Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengheret negara ini ke kancah politik yang tidak menentu," kata mereka lagi.


Kenyataan berkenaan ditandatangani sekumpulan peguam muda dan Biro Guaman serta Undang-Undang AMK; Chiew Choon Man, Adi Zulkarnain Zulkafli, Mohamad Farid Abdul Rahim, Adrian Kumar Vendargon, Darwin Lim Chee Chien, Gavin Way, Alexandre Ong, Lau Yi Leong dan Lee Jia Ying.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page