top of page

Darurat: Risiko kehilangan pekerjaan meningkat - Pemuda PH



Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan rasional Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytihar darurat ke seluruh Malaysia mulai 11 Januari lalu.


Menurut kenyataan Ketua-ketua Pemuda PH, darurat berkenaan hanya akan meningkatkan ketidakstabilan ekonomi dan seterusnya menjurus kepada kehilangan pekerjaan yang menjejaskan kehidupan rakyat.


"Rasional memohon darurat sebagaimana yang diumumkan ‘Perdana Menteri minoriti’ telah memberi kesan terutama sekali dalam aspek ekonomi rakyat. Tempoh darurat yang bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021 menunjukkan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara dengan baik.


"Sebaik sahaja diumumkan, pasaran saham dan matawang Malaysia jatuh merudum. Daripada persepktif matawang, dolar Amerika Syarikat kepada ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi iaitu 4.072, 0.27% lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya sekitar 4.061.


"Bahkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia pula turun sekitar 15.98 mata atau 1.45% berbanding hari sebelumnya. Sekiranya tiada pemulihan yang konsisten, darurat bakal memberikan kesan yang amat buruk kepada ekonomi negara," kata mereka dalam satu kenyataan.


Menurut Pemuda PH lagi, pemberhentian pekerjaan yang kini agak tinggi akan semakin meningkat apabila perlahannya aktiviti ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat.


Maka, kata mereka, jumlah pengangguran yang menghampiri 800,000 orang juga akan meningkat lebih parah dalam beberapa bulan akan datang.


"Kadar pengangguran sekitar 4.8% dijangka terus meningkat. Dianggarkan sebahagian besar daripada angka ini terdiri daripada golongan belia.


"Sebelum Covid-19, pengangguran belia berada pada paras 35.6 %, sebilangan besar daripadanya berpendidikan tinggi. Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus), sebagaimana yang dilaporkan Bank Negara pada 27 Jun 2020.


"Lebih menyedihkan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih banyak lagi yang belum menerima subsidi upah.


"Dalam hal ini, kerajaan wajib membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana, khususnya kepada golongan muda yang terkesan.


"Jika tidak, pengisytiharan darurat ini hanyalah helah untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyidin dan ianya perlu ditolak secara total," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan Howard Lee dan Ketua Pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mihd Ithnin.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page