Darurat 2021 punca tanah Melayu Kg Sungai Baru hilang kepada pemaju?
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Pembangkang Perikatan Nasional (PN) yang menyalahkan Kerajaan Perpaduan dalam isu pengambilan paksa kawasan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, yang dilakukan operasi pengosongan premis atas perintah mahkamah pada Khamis lalu, sewajarnya mencermin diri mereka sendiri.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar), kehilangan tanah orang Melayu itu berlaku akibat pengisytiharan darurat pada 2021 apabila tanah penduduk di situ diambil alih untuk tujuan pembangunan semula tanpa pihak berkepentingan boleh berbahas mengenainya.
Menurut Hassan, darurat yang bermula pada 12 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 di bawah pentadbiran kerajaan PN menyebabkan Parlimen digantung sekali gus menafikan fungsi semak dan imbang terhadap keputusan kerajaan.
"Itulah buruknya jika Parlimen digantung dan darurat diisytiharkan ke seluruh negara. Ketika itu rakyat Melayu di Kampung Sungai Baru hilang tanah mereka kepada pemaju," kata Hassan dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, pengambilan tanah tersebut seratus peratus dilakukan oleh Kerajaan PN yang dikepalai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada waktu itu dan tiada kaitannya dengan Pakatan Harapan atau Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada November 2022.
Ujarnya, isu tersebut bermula apabila Menteri Wilayah Persekutuan mewartakan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 melalui Warta Kerajaan Jilid 65 No. 25 bertarikh 21 Jun 2021, iaitu 40 hari sebelum darurat ditamatkan.
Warta tersebut menyatakan bahawa tanah dan kawasan tertentu diperlukan untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Bandar Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Satu pengajaran yang mahal harganya yang perlu diinsafi oleh parti-parti yang mendabik dada sebagai parti politik yang kononnya memperjuangkan kepentingan dan hak orang Melayu seperti Bersatu, Pas dan UMNO.
"(Mereka) wajar bermuhasabah diri bahawa dalam soal tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur bahawa anda semua telah mengkhianati orang Melayu dengan sengaja menggunakan kuasa anda waktu negara dalam darurat dan Parlimen digantung, mengambil tanah orang-orang Melayu di Kampung Sungai Baru di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk diberikan kepada pemaju," tegas Hassan.
Oleh itu, beliau menekankan bahawa tindakan itu wajar dijadikan iktibar kepada ahli politik pada masa depan agar kepentingan rakyat tidak lagi dikorbankan atas nama kuasa politik.
Untuk rekod pada 11 September lalu, berlaku kekecohan apabila segelintir penduduk Kg Sungai Baru membantah operasi pengosongan premis sehingga berlaku rempuhan ke atas pasukan keselamatan mengakibatkan sorang pegawai polis cedera di kepala akibat dibaling objek.
Bagaimanapun, pengosongan unit berjaya dilakukan pada hari itu untuk tujuan merobohkan premis bagi memulakan projek pembinaan bangunan baharu.
Comments