Darjah satu usia enam tahun: Kerajaan persiap guru, peruntukan
- Suara Keadilan

- Jan 27
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan persediaan kerajaan berhubung isu kemasukan murid Darjah Satu berusia enam tahun yang kini menjadi perbualan hangat.
Anwar menegaskan, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan termasuk guru-guru bagi mendepani fasa baharu itu.
"Kemudahan disediakan, guru disediakan, nak kata sempurna semua.. mungkin tidak.. negara kita tidak boleh ketinggalan, negara lain dah buat.
"Ada persiapan daripada pihak kementerian.. memang benar saya tak nafikan kalau ikut kementerian pada peringkat awal, boleh tak ditangguh dulu setahun atau dua tahun?
"Tapi saya fikir agak berbeza, kalau kita tangguh setahun lagi, anak kita rugi setahun..dan generasi sekarang tak seperti dulu.. umurnya jauh lebih dewasa, lebih pintar, lebih peka dan bagi (mereka) ruang," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN–Rantau Panjang) berkenaan kajian terperinci sebelum dasar itu diisytiharkan dan kesediaan sistem pendidikan dalam negara.
Anwar berkata yang dibimbangi oleh Siti Zailah adalah berkaitan kesediaan, malah Anwar menegaskan pihaknya juga telah menyediakan dana sebanyak RM800 juta.
"Mungkin mencecah RM1 bilion. Kita terpaksa cari kerana ini menjamin masa depan anak-anak kita.
"Apakah harus kita tangguh? saya tidak setuju kita tangguh. Kedua, apakah guru-guru disediakan? Guru-guru pun ada (disediakan).
"Tadi saya baca angka, keperluan guru-guru mula diambil sekarang untuk memenuhi keperluan guru-guru di sekolah.
"Apakah ia memenuhi keperluan sekolah yang sesak? Sekolah sekarang pun ada yang sesak terutamanya sekolah bandar, jadi saya tak dapat nak jamin semua kelas satu sesi tetapi harus kita tangani sekarang kerana saya anggap kalau berlengah, ia akan merugikan negara," tegas beliau lagi.









Comments