'Dari segi definisi rasuah Shamsul tidak terpalit'
- Suara Keadilan
- 7 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH, Dr Zulqarnain Lukman (gambar) berpandangan, dakwaan Albert Tei yang menyatakan beliau mengumpulkan kira-kira 300 muka surat sebagai 'bukti' korupsi ke atas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak semestinya membawa kepada pertuduhan rasuah sekiranya dana terbabit sekadar melibatkan sumbangan politik.
Menurut Dr Zulqarnain, hal itu membuka kemungkinan isu melibatkan Shamsul hanya akan boleh diteruskan sebagai tindakan sivil dan bukannya jenayah.
"Suapan boleh berbentuk wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, atau diskaun.
"Contohnya seorang kontraktor memberi hadiah kepada pegawai kerajaan supaya projek diluluskan kepada syarikatnya. Itu dikira rasuah kerana ia melibatkan pemberian suapan untuk mempengaruhi keputusan rasmi," katanya dalam muat naik di media sosial hari ini.
Bagaimanapun, kata beliau, dakwaan yang dinyatakan oleh Albert dengan memberikan sejumlah wang kepada Shamsul untuk mendapatkan kembali dana yang disalurkan kepada beberapa ahli politik Sabah, bukanlah tugas hakiki seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Sedangkan, jelasnya, definisi rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan, atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.
"Paling kuat pun (dalam kes ini) kira kena 'scam' orang politik sahaja, dan ini mungkin hanya boleh menjadi kausa tindakan kes sivil, bukan kesalahan jenayah," ujarnya.
Namun menurut Dr Zulqarnain lagi, SPRM bebas untuk menyiasat dan menentukan sama ada wujud kesalahan atau pun tidak dalam kes terbabit.
"Apa pun kita tengoklah nanti perkembangan siasatan SPRM kerana kita tidak ada maklumat terperinci," ujarnya lagi.





