top of page

'Dari satu kerusi parlimen ke Putrajaya, KEADILAN tidak lalui jalan mudah'

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 38 minutes ago
  • 2 min read

Perjalanan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) selama lebih dua dekad, daripada sebuah parti yang pernah tinggal hanya satu kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2004 hingga berjaya menerajui Putrajaya, tidak pernah menempuh jalan mudah.


Di sebalik pelbagai kekalahan, tekanan politik, fitnah dan perpecahan, parti itu terus bangkit sehingga berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan.


Sempena ulang tahun ke-23 penubuhan KEADILAN hari ini, Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata pembentukan KEADILAN hasil penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bukan sekadar melahirkan sebuah parti politik baharu, malah membawa cita-cita besar membina Malaysia yang lebih adil dan berintegriti.


"Masih segar dalam ingatan saya detik bersejarah pada 3 Ogos 2003 tatkala Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung membentuk Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).


"Ketika itu, kami bukan sekadar melancarkan parti politik baharu tetapi hasrat besar untuk membina Malaysia yang lebih adil dan berintegriti," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Beliau berkata, antara kenangan yang paling bermakna ialah dapat bersama Presiden PRM, Allahyarham Prof. Dr. Syed Husin Ali, Presiden KEADILAN ketika itu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pejuang awal parti dalam membina asas perjuangan yang kekal utuh sehingga hari ini.


Fuziah turut melahirkan rasa syukur kerana diberi amanah sebagai Ketua Wanita KEADILAN yang pertama, dengan tanggungjawab membangunkan sayap wanita parti dari Perlis hingga ke Sabah.


"Saya juga bersyukur kerana diberi amanah sebagai Ketua Wanita KEADILAN pertama ketika itu, tatkala mengimbau semula perjalanan membina sayap wanita dari utara Perlis hinggalah ke hujung Sabah bukanlah sesuatu yang mudah."


Beliau berkata setahun selepas penubuhan KEADILAN, parti menerima tamparan hebat apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen pada PRU 2004.


Namun katanya, kegagalan itu tidak pernah mematahkan semangat perjuangan sebaliknya menjadi titik kebangkitan sehingga KEADILAN bersama rakan pembangkang ketika itu berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional pada PRU 2008.


"Ramai yang merasakan perjuangan ini tidak akan mampu bertahan lama tetapi kami memilih untuk terus ke depan dan belajar daripada setiap kelemahan hinggalah kami berjaya mencipta sejarah mengagalkan dua pertiga kerusi Parlimen PRU 2008," ujarnya.


Menurut beliau sepanjang lebih dua dekad KEADILAN turut berdepan pelbagai cabaran termasuk kekalahan dalam pilihanraya, tekanan politik, fitnah serta perpecahan dalam kalangan rakan seperjuangan.


Bagaimanapun, katanya segala pengorbanan akhirnya membuahkan hasil apabila Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi mandat memimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia.


"Alhamdulillah, segala pengorbanan akhirnya membuahkan hasil apabila Dato' Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia."


Mengulas lanjut, Fuziah berkata perjalanan panjang parti seharusnya menjadi pengajaran bahawa perjuangan reformasi perlu terus diperkukuhkan dan tidak boleh bergantung kepada nostalgia semata-mata.


"Mengimbau jatuh bangun parti, KEADILAN mengajar kita bahawa perjuangan ini tidak pernah memilih jalan yang mudah. Namun kita juga tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia dan kejayaan lampau.


"Setiap ujian mematangkan kita, setiap kekalahan membuka ruang untuk bermuhasabah dan setiap cabaran mengingatkan kita bahawa perjuangan membina sebuah Malaysia yang lebih baik masih belum selesai," ujarnya.


Beliau turut mengenang jasa tokoh serta sahabat seperjuangan yang telah kembali ke rahmatullah sepanjang perjalanan parti sambil menegaskan pengorbanan mereka akan terus menjadi warisan kepada generasi penerus.


"Apa yang paling menyentuh hati saya, sepanjang perjalanan ini ramai tokoh dan sahabat seperjuangan telah kembali ke alam abadi. Namun, nilai dan pengorbanan yang mereka tinggalkan akan terus menjadi warisan buat kita semua.


"Selamat Ulang Tahun KEADILAN. Semoga parti ini terus teguh mempertahankan prinsip Reformasi dan Keadilan Untuk Semua," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page